Pusat urut dan refleksologi digempur, 54 pekerja asing ditahan

Pusat urut dan refleksologi digempur, 54 pekerja asing ditahan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur tiga pusat urut dan refleksologi sekitar Johor Bahru, semalam yang membawa kepada penahanan 54 pekerja warga asing dan tiga lelaki tempatan.

Kejayaan itu hasil Operasi Khas yang diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman bersama 47 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya dan Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 32 wanita dan seorang lelaki warga Thailand, lapan wanita warga China, lima lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta dua lelaki warga Bangladesh.

Katanya, turut ditahan masing-masing seorang lelaki Indonesia, wanita Vietnam dan Laos berusia antara 19 hingga 59 tahun dan dipercayai bekerja sebagai tukang urut.

“Selain menawarkan khidmat urutan dan refleksologi, pemeriksaan juga mendapati salah sebuah premis berkenaan turut menyediakan bilik sauna kepada pelanggan.

“Bayaran dikenakan antara RM92 sehingga RM180 berdasarkan pakej yang diambil. Bagi pakej yang mempunyai bilik sauna, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak 15 Borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat dan mengambil berat isu warga asing di negara ini.

“Kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan melindungi PATI serta pemerdagangangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top