Pengiktirafan buat warga cemerlang UKM

Pengiktirafan buat warga cemerlang UKM

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Bangi: Tidak pernah rasa terasing bahkan, budaya kerja lebih terbuka dan persekitaran inklusif mendorong Syawal Mohd Yusof untuk terus berbakti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Walau bergelar orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Syawal, 30, yang juga Penolong Pegawai Sains, Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata, layanan diterimanya daripada warga kampus sama seperti individu lain.

“Kekurangan ini (buta mata kiri) tidak mematahkan semangat saya untuk menabur bakti di universiti ini sejak 2021.

“Pengiktirafan diterima juga membuktikan UKM sentiasa menghargai semua warga kerja tanpa mengira kekurangan. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih atas penghargaan diberikan,” katanya.

Beliau salah seorang daripada 522 warga UKM yang dirai pada Majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan (MPAP) 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, di sini hari ini.

Syawal berharap anugerah diterima dapat menjadi inspirasi kepada warga OKU lain, selain dorongan untuknya lebih bekerja keras serta menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Dalam pada itu, Ruslan Md Yusop, 60, bersara dengan meninggalkan legasi besar dalam bidang Sains dan Penyelidikan Serangga selepas empat dekad menabur bakti.

Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Pegawai Sains di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM pada Mei lalu selepas 42 tahun bersama universiti itu.

“Ketika itu saya masih muda, baru lepas SPM, pada tahun 1983, UKM ambil saya sebab saya aktif hoki. Saya mulakan kerja sebagai pembantu makmal sementara.

“Di Muzium Zoologi saya belajar banyak daripada arwah senior saya yang pernah berkhidmat di British Museum. Beliau guru pertama yang mendidik saya.

“Saya juga salah seorang pengasas Pusat Sistematik Serangga bersama beberapa profesor lain dan Alhamdulillah ia berkembang jadi pusat terbesar di ASEAN,” katanya.

Ruslan berkata, peluang yang diberi UKM amat bermakna kerana membolehkan dirinya menimba ilmu, menyumbang kepada masyarakat dan meninggalkan legasi penyelidikan untuk generasi akan datang.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, ini anugerah kelima yang saya terima termasuk sebelum ini Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sempena perkhidmatan 20 dan 30 tahun. Saya ucapkan terima kasih kepada UKM yang menghargai sumbangan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top