zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan MADANI berpendirian teguh dalam menekankan keperluan menghargai warisan sejarah dan merangka pembangunan yang adil serta seimbang, yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur selari dengan pendirian kerajaan itu.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.
“Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang menjadi kepentingan nasional,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan memberikan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda tiada halangan jika kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Baginda mahu dalam setiap pertimbangan dilakukan semua pihak berkaitan mengenai hal itu, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira.
Titah baginda, Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Penempatan Pertanian Melayu (MAS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




