Isu tuntutan bertindih negara jiran, Malaysia pasang radar di Pulau Layang-Layang

Isu tuntutan bertindih negara jiran, Malaysia pasang radar di Pulau Layang-Layang

Kuala Pilah: Malaysia akan memasang sistem radar di Pulau Layang-Layang bagi memperkukuh keupayaan pemantauan di Laut China Selatan sebagai langkah memperkasakan pertahanan negara susulan tuntutan bertindih sebuah negara jiran terhadap kawasan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemasangan radar itu melengkapi usaha kerajaan yang sebelum ini mengukuhkan kedudukan pertahanan di Pulau Layang-Layang bagi memastikan keupayaan pengawasan di kawasan strategik berkenaan terus dipertingkat.

Beliau berkata langkah itu penting dalam menghadapi cabaran keselamatan di Laut China Selatan yang menyaksikan beberapa negara mengemukakan tuntutan bertindih terhadap kawasan maritim berkenaan.

“Dari segi ancaman keselamatan, seperti yang kita sedia maklum, kita telah mengukuhkan kedudukan kita di Pulau Layang-Layang.

“Kita juga akan memasang radar di kawasan itu supaya kita mempunyai keupayaan melakukan pemantauan (surveillance) yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, di sini, hari ini.

Mengulas tindakan Wisma Putra mengemukakan nota diplomatik kepada sebuah negara yang mendakwa sebahagian wilayah Malaysia adalah miliknya, Mohamed Khaled berkata bantahan seumpama itu perlu dibuat bagi mempertahankan pendirian dan kedaulatan negara.

Katanya, Laut China Selatan sememangnya kawasan yang berdepan tuntutan bertindih membabitkan beberapa negara termasuk China, Vietnam dan Filipina, justeru Malaysia tidak boleh membiarkan sebarang dakwaan terhadap wilayahnya berlalu tanpa respons.

“Soal bantahan itu perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa mempertahankan pendirian negara dan tidak membenarkan sebarang kenyataan atau dakwaan berlalu begitu sahaja tanpa kita menyatakan pendirian.

“Kita juga menerima bantahan daripada negara-negara yang membuat tuntutan bertindih terhadap kawasan yang kita anggap milik Malaysia. Ini memang satu perkara yang perlu dibuat, lebih-lebih lagi apabila negara berkenaan baru-baru ini mengumumkan kawasan lautnya merangkumi beberapa pulau yang kita miliki,” katanya.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata Malaysia mengemukakan nota diplomatik kepada sebuah negara susulan dakwaan bahawa sebahagian wilayah Malaysia adalah milik negara berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top