Aisar Khaled dihalau ketika beri sumbangan di Bali

Aisar Khaled dihalau ketika beri sumbangan di Bali

Kuala Lumpur: Pempengaruh, Aisar Khaled dihalau seorang penduduk di Bali, Indonesia ketika dia mengedarkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Dalam video yang tular di media sosial, Aisar yang berada di atas lori kecil kelihatan tergamam apabila muncul suara seorang lelaki yang menghalaunya dengan nada keras.

“Pergi kamu! Pergi! Tengok itu, orang lain sedang bergotong-royong. Jangan menyibuk di sini! Itu masyarakat tengah membersihkan kawasan.

“Kamu hanya menyesakkan dan menghalang kerja di sini!” kata lelaki itu.

Aisar hanya mampu membalas dengan senyuman sebelum meminta lori yang membawa barangan sumbangan untuk bergerak.

“Siap bang. Terima kasih. Maaf bang,” katanya kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, dia dikerumuni kanak-kanak dan penduduk tempatan lain yang menenangkannya.

Video yang dimuat naik Aisar di TikTok itu turut disertakan dengan kenyataan ringkas.

“Adab lebih tinggi daripada ilmu,” tulisnya.

Ruangan komen dipenuhi dengan pelbagai komen yang menyokong dan menentang tindakan Aisar.

“Tapi, banyak saksi yang komen, katanya memang bikin macet (kesesakan lalu lintas). Katanya, itu jalan satu arah, muat satu kenderaan saja.

“Mungkin bapaknya itu sedang keletihan selepas kerja pembersihan. Biasalah orang emosi kalau keletihan,” tulis satu netizen.

Ada juga penduduk Bali yang menulis komen permohonan maaf mewakili penduduk setempat.

“Bang, saya asli Bali mewakili seluruh masyarakat Bali meminta maaf ya bang atas perlakuan yang tidak menyenangkan itu.

“Saya jadi malu kerana abang sudah berbaik hati menyalurkan banyak bantuan untuk masyarakat kami,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top