nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tiada sebarang alasan dapat menghalang Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan kejadian buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pihaknya akan mencari pelbagai cara untuk merealisasikan inisiatif itu terutamanya jika ia membabitkan isu peruntukan.
“Peruntukan itu boleh cari, tapi ada apa pada bajet jika dibandingkan dengan kematian? Nyawa yang tergadai, orang yang terseksa jika dan mentalnya bila kena buli.
“Walaupun dia akan jalani kehidupan di luar, tetapi mangsa ini akan ingat sampai bila-bila. Ini benda yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan mungkin dia pula akan jadi pelaku.
“Jadi, sampai bila kita nak kata nak jimatkan bajet, kalau nak jimat sangat, tak perlu ada asramalah,” katanya dalam podcast Lebih Masa yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengacara Nani Roslan.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika ia membabitkan isu buli.
“Sampai bila kita nak membiarkan isu ini, mungkin ada sesetengah pihak dia kata biarkanlah ia cuma sikit, atau itu cara nak mematangkan.
“Tapi itulah menyebabkan kita membenarkan perlakuan yang akhirnya sampai ke peringkat ekstrem dan kematian.
“Isu kematian Zara itu cuma pencetus, tapi sebenarnya sudah banyak kematian dilaporkan,” katanya.
Katanya selain intervensi dan pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga penting dalam menyelesaikan isu buli.
“Jika dua ini kita tidak selarikan, kita hanya mendidik dan beri motivasi, ia tidak akan berjaya. Sebab bila libat pada realiti, pelaku ini tahu dia sentiasa dapat mengelak atau lari daripada kelakuannya.
“Ini tidak boleh, kita kena tunjukan ketegasan. Jika awak sentuh, awak akan dikenakan tindakan.
“Bukan sahaja kepada pelajar, tetapi guru atau pengetua yang cuba menyorok isu buli ini juga akan dikenakan tindakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




