harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 942 pelajar universiti awam seluruh negara berjaya menamatkan latihan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) sekali gus bergelar duta kecil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pelaksanaan Kor SUKSIS adalah mekanisme bagi memupuk nilai moral dalam diri pelajar supaya menjadi individu bermoral tinggi dan mempunyai minda kelas pertama.
“Penubuhan Kor SUKSIS merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan belia mendapat pendidikan dan pendedahan latihan kepolisan sebagai salah satu
aktiviti kokurikulum utama di setiap universiti awam.
“Ia bagi membentuk generasi yang berprinsip, berkepemimpinan dan berdaya tahan selain memupuk semangat patriotik cintakan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor SUKSIS UniversitiAwam ke-21 di Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di Melaka, hari ini.
Mohd Khalid berkata, pelajar terbabit diharap memikul amanah dengan penuh tanggungjawab dan dapat menjadi tauladan kepada rakan sebaya.
Katanya, PDRM akan meneruskan sinergi antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi melahirkan generasi baharu yang berkeyakinan tinggi, berdaya cipta dan mampan.
“Kor SUKSIS platform penting memupuk nilai moral, disiplin dan minda kelas pertama dalam kalangan mahasiswa selain membentuk jati diri, kepimpinan, ketahanan dan semangat patriotisme golongan muda.
“Pelatih diharap menjadi ikon disiplin dan ejen perubahan positif kepada generasi muda dan PDRM komited meneruskan kerjasama dengan IPTA untuk melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing, berkeyakinan dan beretika,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




