sukan@hmetro.com.my
Seremban: Prestasi terbaik dipamerkan barisan pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jelas sukar digugat oleh mana-mana pencabar lain apabila pasukan itu sekali lagi dinobatkan juara keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan 2025, yang berakhir hari ini.
Ia adalah kejayaan kali ketiga berturut-turut dicatatkan pasukan terbabit dalam jelajah berkenaan sejak 2023.Pasukan ATM yang membariskan pelumba-pelumba kebangsaan mengetepikan pencabar terdekat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Ketua pasukan ATM, Muhammad Zawawi Azman berkata, ini adalah kejayaan kali ketiga pasukannya muncul juara keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan sejak 2023.
“Alhamdulillah, kami dapat berikan komitmen yang baik sepanjang penyertaan dalam kejohanan ini dan dapat kekalkan momentum ini selama tiga tahun berturut-turut.
“Walaupun terdapat pelumba baharu yang menyertai pasukan ini, namun mereka berusaha memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam perlumbaan bagi mengekalkan reputasi pasukan.
“Dari segi cabaran kali ini, ia sememangnya sukar termasuk empat trek pendakian, namun semua pelumba kami dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang perlumbaan,” kata Muhammad Zawawi, yang juga pelumba kebangsaan selepas majlis penyampaian hadiah di Sendayan, hari ini.
Secara keseluruhan pelumba ATM mendominasi setiap kategori dengan Muhammad Zahin Wahhi muncul juara keseluruhan (jersi kuning) manakala pelumba Terengganu, Muhammad Adam Ramdzan Razali mengungguli jersi hijau dan Muhammad Zawawi, (jersi merah).
Seramai 84 pelumba mewakili 14 pasukan mengambil bahagian dalam perlumbaan membabitkan jarak keseluruhan kira-kira 268.9 kilometer (km).
Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS), Yunus Ibrahim berpuas hati dengan penganjuran kejohanan berkenaan.
“Tumpuan kami untuk menjadikan jelajah ini sebagai medan pendedahan pelumba muda untuk kepentingan sukan berbasikal negara dan ia tampak berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




