Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana, 40, mendedahkan mendapat tawaran persembahan dari tanah air.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil yang kini menyertai program bantuan kemanusiaan ke Gaza bagaimanapun mengakui tiada jawapan terhadap hal itu kerana fokusnya hanya tertumpu kepada misi dijalankan sekarang.
“Semalam buat panggilan video dengan pengurus saya borak pasal Global Sumud Flotila (GSF). Dia ada tanya agak-agak bila balik Malaysia sebab ada beberapa acara yang jemput untuk buat persembahan.
“Tapi jujur saya tiada jawapan, cuma boleh kata Insya-Allah sahaja,” ciapan Zizi di Threads, semalam.
Seloroh pelantun lagu Eh itu, dia bahkan sudah lupa statusnya sebagai penyanyi namun cukup bersyukur pengurusnya masih menjaga serius kerjaya seninya.
“Saya ada gurau cakap kat dia, saya dah lupa macam mana nak buat persembahan atas pentas dan lupa saya ini seorang penyanyi.
“Apapun terima kasih pengurus saya kerana selalu ada bersama susah dan senang, sayang awak,” jelasnya.
Sebelum ini, Zizi menjadi sorotan ramai apabila mengakui cuba untuk mengelak daripada melakukan panggilan video kerana tidak sanggup melihat keluarganya menangis.
Untuk info, misi ke Gaza ini bukan kali pertama disertai sukarelawan dari Malaysia.
Keadaan di sana dilaporkan kritikal ekoran peperangan berterusan, dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan tempat tinggal.
Sukarelawan biasanya membantu mengagihkan makanan serta keperluan peribadi lain kepada penduduk terjejas di Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd

