am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bakal menerima seekor anjing pengesan dadah (K9) baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dadah di pintu masuk utama negeri ini.
Majlis penyerahan simbolik K9 itu disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi PEMADAM Sabah, Datuk James Ratib, sambil disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, di IPK Sabah, hari ini.
Simbolik penyerahan dilakukan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner, Alhusin Halil.
Ketika ini, JSJN Sabah hanya bergantung kepada seekor anjing bernama Duoyun yang berusia 13 tahun dan ditempatkan di IPK.
James berkata, anjing K9 baharu berkenaan menjalani latihan di Bukit Aman, manakala pengasuhnya turut mengikuti kursus sebelum ditempatkan di pintu masuk negeri ini.
“Perbelanjaan pembelian dan melatih seekor anjing K9 dianggarkan RM80,000 tidak termasuk kos penjagaan keseluruhan yang lain selama mana ia digunakan.
“Kita memerlukan lebih banyak anjing pengesan bagi menampung keperluan di pintu masuk negeri ini,” katanya.
Menurutnya, Sabah sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya lima hingga enam anjing K9, dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk pertimbangan lanjut.
Sementara itu, Jauteh berkata, hanya satu anjing K9 bagi kebanyakan penugasan sekitar Sabah adalah kurang efisien kerana keluasan negeri ini serta bilangan pintu masuk yang banyak.
“Duoyun sudah terlalu tua dan tahap kebolehupayaan penugasan juga berkurangan.
“Sekurang-kurangnya lima ekor diperlukan supaya setiap lapangan terbang dan pelabuhan utama boleh dilengkapi unit pengesan dadah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




