georgie@hmetro.com.my
DI SEBALIK CERITAM
PERJALANAN seni Noryn Aziz sebuah kebangkitan semula penuh inspirasi. Selepas menyepi dari industri untuk satu tempoh agak lama, kemunculan semula bukti namanya tak pudar dimamah waktu.
Hampir lapan tahun dia seakan hilang dari radar arus perdana. Walaupun masih menerima tawaran, dia sangat selektif dan hanya membuat persembahan untuk acara-acara tertutup.
Platform Gegar Vaganza musim kelima (GV5) menjadi titik tolak paling signifikan dalam kariernya. Penyertaan dalam program realiti popular itu bukanlah sekadar sebuah pertandingan.
Tetapi ia ibarat pengisytiharan bahawa dia sudah kembali untuk menuntut semula tempatnya dalam industri muzik.
“Sejujurnya, yang paling memberi kesan adalah Gegar Vaganza musim kelima, apabila saya memenanginya. Apabila mereka mempelawa saya datang uji bakat GV, saya mencubanya.
“Ketika itu, saya berhenti menyanyi hampir lapan tahun dan langsung tidak membuat persembahan. Walaupun ada, ia persembahan tertutup yang sangat terpilih.
“Jadi, apabila saya kembali, niat saya bukan untuk menang, tetapi lebih kepada untuk memberitahu semua saya masih di sini. Saya sudah kembali,” katanya.
Keputusan muncul semula di pentas besar adalah langkah berani. Dia sedar strategi itu paling berkesan untuk tawan semula peminat lama sambil memperkenalkan dirinya kepada generasi pendengar yang lebih muda.
Kemenangan mutlak diraihnya dalam program terbabit adalah pencapaian peribadi amat penting. Bahkan membuka pintu untuknya dikenali oleh pasaran yang lebih luas.
Kejayaan itu seperti membunuh dua ekor burung dengan sekeping batu. Namanya kembali menjadi sebutan peminat dan penggiat industri, manakala golongan muda mengenali dan menghargai legasi muziknya.
“Apabila saya sertai GV, saya menang. Bagi saya, itu pencapaian yang agak penting dalam kerjaya saya. Ketika itulah pasaran massa mula kenal Noryn Aziz.
“Orang ramai mula mengetahui siapa saya, termasuk golongan muda. Semasa era senyap itu, saya terputus hubungan sepenuhnya dengan industri muzik tanah air.
“Apabila saya kembali, saya rasa ‘lost’. Apabila kita berhenti melakukan perkara yang kita suka, iaitu minat kita, kita akan berasa seperti tidak mengenali diri sendiri apabila melihat cermin,” katanya.
Di sebalik kemeriahan kemunculannya, dia mengakui melalui satu fasa kehilangan identiti yang mendalam. Apabila berhenti melakukan perkara yang amat dicintainya, wujud satu kekosongan yang sukar untuk digambarkan.
Muzik dan nyanyian bukan sekadar kerjaya untuk Noryn, tetapi sebahagian daripada jiwa dan semangatnya. Ia sumber hidup yang beri tujuan serta kegembiraan, justeru keputusan berhenti memberi kesan besar.
Perasaan ‘lost’ adalah lumrah mana-mana penggiat seni yang terpaksa meninggalkan bidang dicintai. Ia pergelutan dalaman untuk mencari semula siapa diri mereka tanpa aktiviti seni yang sudah sebati.
“Saya rasa saya akan menyanyi selamanya. Apabila kita tiba-tiba berhenti melakukan apa yang kita suka dan minati, ia terasa begitu janggal kerana nyanyian memberikan saya kehidupan.
“Sejujurnya, semasa saya berhenti, saya berubah 360 darjah sehingga orang tidak mengenali saya. Ada rakan lama dalam industri yang terserempak, namun tidak perasan kelibat saya.
“Saya bernasib baik kerana dahulu media sosial tidak begitu meluas. Ketika saya melalui sebuah eskalator, seorang rakan industri menegur, ‘Eh, hai ustazah,’ begitulah katanya kepada saya,” katanya.
Tempoh menyepi itu bukan sahaja membabitkan karier, tetapi juga membawa perubahan menyeluruh kepada kehidupan peribadinya. Transformasi dilalui ketara dirasakan.
Dia menganggap setiap fasa dilalui, baik yang manis mahupun sukar, adalah sebuah perjalanan untuk mengenali diri dengan lebih mendalam. Paling penting, dia kini kembali sambung cintanya terhadap muzik.
“Saya tertanya-tanya mengapa orang memanggil saya ustazah ketika itu, kerana saya memang sudah berubah. Diri saya yang dahulu dengan yang sekarang adalah sangat berbeza.
“Jadi, saya seolah-olah melalui fasa-fasa kehidupan yang sangat berlainan. Namun, ia tidak mengapa kerana ini adalah sebuah perjalanan yang harus saya tempuhi.
“Ia adalah sebuah kembara peribadi, dan Alhamdulillah, saya kini di sini, masih setia melakukan perkara yang saya cintai sepenuh hati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




