Batu Pahat: Seorang maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbakar di Pantai Sungai Lurus, di sini petang tadi.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Norhisham Abdul Talib berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.51 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, benar berlaku kebakaran sebuah kereta. Namun, jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan pesisir pantai kerana laluan sempit.
“Anggota terpaksa menggunakan motosikal milik orang awam untuk ke lokasi sejauh kira-kira dua kilometer.
“Didapati terdapat seorang mangsa di dalam kenderaan terbabit.
“Tindakan awal operasi pemadaman dilakukan menggunakan siraman air baldi dari sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi berkata usaha mengenal pasti identiti mangsa masih dijalankan, selain siasatan lanjut berhubung punca kebakaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




