hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung pendedahan video terbaharu oleh ahli perniagaan, Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berhubung video baharu yang disiarkan oleh satu portal dalam talian sedang dijalankan.
“Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan SPRM Sabah untuk melanjutkan siasatan berdasarkan maklumat terbaharu yang didedahkan.
“Saya juga mengarahkan agar kedua-dua individu terbabit dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Menurutnya, SPRM akan berusaha untuk menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin dengan penuh teliti dan berintegriti.
“Saya menyeru supaya semua pihak dapat bersabar dan memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional.
“Sebarang spekulasi yang tidak berasas hanya akan mengganggu proses siasatan dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.
Katanya, SPRM komited untuk menjalankan tugas secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang demi memastikan keadilan ditegakkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




