am@hmetro.com.my
Melaka: Sebanyak 40 kelahiran bayi etnik Rohingya direkodkan di Hospital Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 55 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang menerima rawatan di hospital berkenaan dalam tempoh sama.
Menurutnya, selain kes kelahiran, sebanyak 15 lagi membabitkan pelbagai jenis rawatan lain.
“Jumlah kes bersalin di Hospital Melaka bagi tahun ini setakat Mei lalu adalah 40 kes manakala 15 lagi adalah lain-lain kes.
“Dalam tempoh lima bulan tahun ini, jumlah keseluruhan pesakit Rohingya yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka saja adalah seramai 55 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas statistik rawatan melibatkan pemegang kad UNHCR di Hospital Melaka susulan kebimbangan segelintir pihak mengenai kehadiran warga Rohingya di fasiliti kesihatan kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, data berkenaan hanya membabitkan pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Ahad lalu, Harian Metro melaporkan ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendedahkan bahawa selain etnik itu didakwa mengemukakan pelbagai permohonan yang disifatkan melangkaui status sebagai pelarian, beliau turut menerima aduan mengenai sikap segelintir warga Rohingya yang didakwa kurang sopan ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Menurutnya, ada antara mereka didakwa enggan mematuhi prosedur ditetapkan selain mendesak untuk diberikan rawatan segera sehingga menyukarkan tugas petugas kesihatan.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada pegawai kesihatan mengenai segelintir pelarian etnik berkenaan yang enggan mengikut prosedur ketika mendapatkan rawatan.
“Contohnya rawatan ibu mengandung, atas dasar kemanusiaan kita tetap beri perkhidmatan, tetapi kadang-kadang adab dan tata susila itu tidak ada sehingga menyebabkan petugas yang sudah penat berasa kurang selesa serta menimbulkan pertelingkahan.
“Ada juga yang mendakwa tidak mempunyai wang untuk membayar kos rawatan sedangkan hakikatnya berbeza,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




