am@hmetro.com.my
STESEN Radio Muzik mempunyai sejarah panjang penyiaran negara apabila mula beroperasi pada 1975 dan dikenali sebagai FM Stereo.
Ia kemudian dikenali sebagai Radio 2 pada 1989 sebelum ditukar kepada Radio Muzik pada 1994 dan bersiaran 24 jam dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Pada 1 April 2005, Radio Muzik dikenali sebagai Muzik FM berikutan penjenamaan semula radio RTM.
Rancangan seperti Pilihan Bersama antara yang mendapat tempat di hati pendengar, apa tidaknya nama pendengar turut disiarkan di akhbar bersama tajuk lagu pilihan.
Bagaimanapun, pada Januari 2012 Muzik FM direhatkan bagi memberi laluan kepada penjenamaan semula Radio Klasik dan Nasional FM.
Biarpun keputusan merehatkan Muzik FM tidak dapat diterima kebanyakan pendengar ketika itu, namun ia adalah keputusan yang sukar yang dilakukan oleh RTM.
Selepas berehat panjang selama 13 tahun, Radio Muzik kini kembali menemui pendengar dan memanfaat sepenuh teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI).
Penyelia stesen radio berkenaan, Suhaimi Sulaiman, berkata Radio Muzik beroperasi sepenuhnya secara dalam talian atau ‘streaming’ mulai 25 Januari tahun lalu.
Katanya, pelbagai segmen antaranya Live Vibe Muzik, Layan Radio Muzik dan Rock 22 antara segmen dikendalikan dua DJ AI sekali gus menjadi yang pertama di Malaysia dan Asean.
“Harus diingat, Radio Muzik bukan ada satu DJ AI, tetapi memiliki dua iaitu DJ Aira dan DJ Dio yang bersiaran setiap hari selain dua DJ manusia iaitu Aliff dan Meyra.
“Konsep terkini Radio Muzik beralih sepenuhnya kepada penyiaran digital, selain memanfaatkan sepenuhnya AI, Radio Muzik turut menggunakan Radio Cloud System (RCS),” katanya.
Suhaimi menjelaskan, Radio Muzik juga melaksanakan pelan tindakan awal sebagai langkah intervensi menghadapi perubahan gaya dan citarasa pendengar yang kini lebih dipengaruhi oleh media baharu.
Menurutnya, Radio Muzik masih mengekalkan tagline Stesen Muzik Anda menyajikan muzik merentas masa, bahasa dan genre selama 24 jam tanpa henti selain menyokong industri muzik tempatan.
Katanya, rancangan ‘rare’ seperti Pilihan Bersama dan Rock Slamber turut dikekalkan, namun dijenamakan semula.
“Pilihan Bersama kini dikenali sebagai Layan Radio Muzik bersiaran setiap Jumaat dan Ahad bermula jam 8 hingga 11 malam dan dikendalikan DJ AI Aira, menjadikan rancangan pertama seumpamanya di Malaysia dan Asean.
“Pendengar masih lagi boleh memilih tiga lagu kegemaran melalui imbasan kod QR di media sosial rasmi Radio Muzik,” katanya.
Segmen Rock Slamber pula menurut Suhaimi diberi nafas baharu dan dikenali sebagai Rock 22: Rockologi Dalam Distorsi yang bersiaran setiap Sabtu dari jam 9 malam hingga 11 malam juga dikendalikan oleh DJ AI Dio.
“Biarpun ada permintaan supaya radio ini kembali bersiaran menggunakan frekuensi FM, hakikatnya penggunaan FM dijangka berakhir dalam dekad ini di negara ini, penyiaran digital berasaskan internet akan menjadi kaedah utama dan penstriman radio bakal menjadi satu-satunya saluran siaran.
“Radio Muzik di landasan tepat untuk menghadapi ledakan penyiaran moden selaras dengan perubahan teknologi dan gaya hidup pendengar masa kini,” katanya.
Suhaimi berkata, pelbagai program baharu akan diperkenalkan dalam usaha menarik perhatian pendengar dan ia termasuk menambah DJ AI malah statistik jumlah pendengar menunjukkan trend positif dan terus meningkat.
“Misalnya pada Julai ini jumlah ‘like’ di Live Tik Tok berjumlah 3.29 juta meningkat kepada 5.22 juta pada Ogos lalu membuktikan peningkatan interaksi dalam tempoh dua bulan terakhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




