asmaini@mediaprima.com.my
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan dengan menganjurkan Pertandingan Cabaran Joran Merdeka MBSJ 2025, baru-baru ini.
Edisi kali ketiga itu menarik penyertaan 500 kaki pancing dari Lembah Klang untuk bertarung di Tasik Sri Aman, Puchong, Selangor.
Ia dianjurkan dengan kerjasama Nadi Media Events serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12.
Pertandingan itu juga diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Kelima MBSJ.
Selain dapat memupuk semangat perpaduan sesama peserta, pertandingan itu turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi memancing.
Secara tidak langsung ia juga dapat mempromosikan lagi keindahan Taman Tasik Sri Aman yang sememangnya terkenal dalam kalangan warga tempatan sebagai destinasi pelancongan komuniti. Sebelum pertandingan, pihak penganjur melepaskan hampir 300 kilogram ikan pelbagai spesies termasuk ikan lampam sungai dan baung.
Tasik terbabit turut menempatkan pelbagai spesies ikan sedia ada seperti patin, keli, tilapia, haruan dan toman, sekali gus menjanjikan cabaran menarik kepada peserta.
Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan kali ini adalah sebanyak RM19, 700 berbanding RM13,700 yang ditawarkan pada edisi 2023.
Menariknya, penganjur turut menyediakan hadiah lumayan sebuah motosikal kepada peserta cabutan bertuah.
Selain itu, MPP Zon 12 turut menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti antaranya pertandingan sepakan penalti, program Subuh Macam Jumaat dan karnival jualan komuniti bagi menyokong usahawan tempatan.
Program seumpama itu sememangnya dapat mempromosikan gaya hidup sihat dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Ia juga dapat memaksimumkan potensi kawasan rekreasi sebagai destinasi pelancongan domestik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




