hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menyediakan perkhidmatan ‘water bath’ dan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Itu kegiatan jijik ditawarkan beberapa pusat urutan dan refleksologi di sekitar Puchong serta di ibu kota bagi menarik pelanggan.
Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mendapati pemilik premis mempromosikan perkhidmatan mereka melalui kad perniagaan, media sosial, aplikasi mesej dengan menawarkan pelbagai pakej kepada pelanggan.
Menurutnya, antara pakej yang ditawarkan seperti penggunaan ‘water bath’ mandi bersama pelanggan serta perkhidmatan seks bergantung kepada pakej dan masa yang dipilih.
“Premis urut itu turut menyediakan bilik persendirian serta ruang tertutup untuk kegunaan ‘pelanggan khusus’.
“Dianggarkan keuntungan yang diperoleh oleh sebuah pusat urut kira-kira RM300,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, susulan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 55 pegawai diatur gerak ke beberapa lokasi.
“Seramai 42 individu terdiri daripada dua lelaki dan 29 perempuan warga asing serta 11 warga tempatan diperiksa dalam operasi itu.
“Seramai 28 warga asing yang terdiri daripada dua wanita warga Thailand, satu lelaki dan tiga wanita warga China, lima wanita Myanmar, 12 wanita Indonesia, empat wanita Vietnam dan seorang lelaki warga India berusia 21 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, semua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“JIM turut mengeluarkan sebanyak tujuh saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pelanggan yang berada di beberapa lokasi kejadian.
“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




