Birmingham: Aston Villa menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan Bologna 1-0 untuk membuka kempen Liga Europa mereka, manakala kedudukan pengurus Rangers, Russell Martin semakin tergugat selepas tewas 0-1 di laman sendiri kepada Genk, awal pagi tadi.
Meskipun gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL), Villa tetap dianggap sebagai pilihan utama kejohanan Liga Europa.
Kelab Inggeris itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu sebelum tewas tipis kepada juara akhirnya, Paris Saint Germain (PSG), dan di bawah kendalian Unai Emery, seorang pengurus yang pernah menjuarai Liga Europa sebanyak empat kali bersama Sevilla dan Villarreal.
Namun, keadaan tidak harmoni dalam kem Villa mula terserlah apabila Emery melabelkan pemainnya sebagai “malas” selepas gagal menundukkan Sunderland yang beraksi 10 pemain pada Ahad lalu, manakala pengarah sukan Monchi pula meninggalkan kelab itu minggu ini.
Bagaimanapun, mereka tetap berjaya menundukkan juara Coppa Italia hasil jaringan awal kapten pasukan, John McGinn.
Pemain antarabangsa Scotland itu melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang dari luar kotak penalti pada minit ke-13.
Ollie Watkins diletakkan di bangku simpanan selepas gagal menjaringkan gol dalam kempen kali ini dan terus kempunan apabila sepakan penalti lemahnya mudah diselamatkan Lukasz Skorupski pada babak kedua.
Villa hampir dihukum apabila tandukan Santiago Castro terkena palang.
Namun sama seperti pertemuan mereka dalam UCL musim lalu, kunjungan Bologna ke Villa Park sekali lagi berakhir dengan kekalahan.
“Penting untuk meraih kemenangan di laman sendiri selepas permulaan musim yang kurang baik.
“Kami tidak cukup bagus. Kami menerima banyak pujian dalam beberapa musim lalu dan ketika ini kami wajar menerima kritikan,” kata McGinn.
Sementara itu, pengendali Rangers, Martin terus menerima desakan supaya meletak jawatan susulan keputusan mengecewakan terbaru di Ibrox.
© New Straits Times Press (M) Bhd




