Intan Najuwa Dedah Pereka Fesyen Popular Gagal Bayar Hutang Cecah Jutaan Ringgit – “Pandai Putar Belit Jadi Ular”

Intan Najuwa Dedah Pereka Fesyen Popular Gagal Bayar Hutang Cecah Jutaan Ringgit – “Pandai Putar Belit Jadi Ular”

Pelakon, Datin Intan Najuwa meluahkan rasa kecewa terhadap seorang pereka fesyen terkenal yang didakwa gagal melunaskan hutang jutaan ringgit meskipun sudah ada perjanjian hitam putih.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Intan, 27, berkata individu berkenaan pada awalnya berjanji manis ketika memerlukan pelaburan dan pinjaman daripadanya.

Namun, apabila tiba masa membayar semula, pelbagai alasan diberikan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Ada satu famous designer ni, masa perlukan loan janji manis bukan main. Bila tiba masa bayar balik, ikut perjanjian hitam putih yang dipersetujui. Tiba-tiba jadi ular, pandai putar belit. Jumlahnya pula berjuta, bukan sedikit,” katanya.

Menurut Intan, apa yang lebih menghairankan ialah gaya hidup mewah individu terbabit yang sering ditayangkan di media sosial, namun gagal menunaikan janji untuk melangsaikan hutang.

“Kelakarlah, hidup ‘lavish’ sangat tayang mewah sana sini. Tapi nak langsaikan hutang yang wajib dibayar pun tak boleh. Kekayaan sebenar bukan apa yang ditunjuk, tapi bagaimana kita hormat janji dan amanah,” ujarnya.

Tambahnya, Intan tidak berniat untuk menghebahkan isu berkenaan, namun terpaksa bersuara selepas masalah itu berlarutan bertahun-tahun.

“Sejujurnya, saya tak pernah rancang untuk dedahkan perkara ini di media sosial. Dari mula saya mahukan ketenangan, tiada drama. Tapi kali ini paling menyusahkan kerana terlalu banyak alasan diberi. Rasa hormat itu dah tiada. Sekali kepercayaan hancur, ia tak boleh dibeli semula,” jelasnya.

Bagaimanapun, Intan enggan mendedahkan identiti pereka fesyen berkenaan buat masa ini, namun memberi bayangan akan membongkar individu terbabit sekiranya isu itu masih berlarutan.

Scroll to Top