am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pasangan kekasih yang mendakwa bakal mendirikan rumah tangga dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, awal pagi tadi.
JAINJ pada kenyataan berkata, mereka ditahan jam 2 pagi, selepas pintu bilik diketuk hampir tujuh minit.
“Pintu dibuka seorang wanita yang memakai baju T dan berseluar panjang serta menutup rambut dengan tuala.
“Wanita terbabit tidak menjawab soalan sama ada dia berseorangan sebelum penguat kuasa masuk ke bilik dan membuat pemeriksaan,” katanya.
Menurut kenyataan, hasil pemeriksaan, seorang lelaki sedang berbaring dan berselimut di atas katil.
Katanya, pada masa sama, kesemua pakaian lelaki itu pula ada di dalam almari dan ketika ditanya siapakah lelaki itu, wanita berkenaan memberitahu dia adalah teman lelakinya.
“Hasil soal-siasat mendapati, lelaki terbabit berusia 20-an dan masih bujang. Ketika kejadian, lelaki itu sedang bercuti daripada kerja manakala wanita berumur 20-an berkenaan menganggur.
“Mereka adalah pasangan kekasih dan merancang untuk berkahwin. Lelaki tinggal menyewa bilik di daerah ini, manakala wanita tinggal dengan ibu bapanya.
“Ketika kejadian, wanita itu memberitahu keluarga bahawa dia keluar ke rumah rakan wanita,” katanya.
Menurut JAINJ, pasangan itu akan dituduh di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana persediaan melakukan zina.
Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




