am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Hisyam Hamid turut meluahkan perasaan kecewa apabila filem lakonannya, Konspirasi dihentikan tayangan di pawagam seluruh negara, kelmarin.
Hisyam berkata, sebagai pelakon dia juga sudah memberikan komitmen terbaik seperti dikehendaki untuk filem itu.
“Saya agak kecewa bila dapat tahu tayangan filem Konspirasi dihentikan sebab sudah beri segalanya untuk filem itu dari segi persiapan, sesi latihan dan sebagainya. Malah, dua bulan sebelum masuk set, saya sudah mulakan sesi latihan untuk babak ‘fighting’.
“Bila sesi latihan sudah selesai pun saya buat permintaan untuk latihan tambahan sebab saya memang nak sangat buat filem genre aksi sejak dulu dan bila diberi peluang kali ini mesti saya nak lakukan sebaik mungkin,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Hisyam, dia mengetahui filem Konspirasi dihentikan tayangannya melalui laman Threads, Khamis lalu.
“Semua orang muat naik ‘posting’ mengenai tayangan filem itu dihentikan di Threads dan bila saya tengok memang sudah tiada tayangannya di pawagam.
“Saya cuba hubungi produser untuk bertanyakan perkara itu, tetapi dia tidak menjawab panggilan dan mereka hanya ‘forward’ kenyataan mengenai filem itu dihentikan.
“Saya juga tidak pasti apa langkah seterusnya yang akan diambil produser untuk filem berkenaan. Kami sudah berusaha buat yang terbaik dan saya berasa rugi dan penat jika ia disia-siakan macam itu sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




