Gaza: Sayap bersenjata Hamas menggesa tentera Israel menghentikan sementara serangan udara dan berundur dari sebahagian Bandar Gaza pada Ahad ketika ia cuba mencari dua tebusan Israel yang dikatakan terputus hubungan dengannya.
“Nyawa kedua-dua tebusan itu berada dalam bahaya sebenar, dan tentera (Israel) mesti segera berundur ke selatan Jalan 8 dan menghentikan operasi udara selama 24 jam bermula dari 18:00 hari ini untuk membolehkan percubaan menyelamatkan tebusan,” kata Briged Ezzedine Al-Qassam dalam satu kenyataan.
Dalam pengumuman awal, kumpulan bersenjata itu berkata, terputus hubungan itu disebabkan oleh operasi ketenteraan Israel sejak 48 jam sebelumnya di dua kawasan kejiranan selatan Bandar Gaza, di mana tentera Israel meningkatkan serangan udara dan darat.
Pada masa lalu, kumpulan itu mengumumkan bahawa ia terputus hubungan dengan seorang tebusan Israel-Amerika, yang dibebaskan beberapa hari selepas pengumuman itu.
Sejak melancarkan serangan ke atas Bandar Gaza, tentera Israel berkali-kali mengarahkan rakyat Palestin untuk bergerak ke selatan.
Pada Ahad, agensi pertahanan awam Gaza, pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas, berkata, 38 orang terbunuh oleh tembakan Israel, termasuk 14 di Bandar Gaza.
Bercakap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Benjamin Netanyahu berikrar untuk “menyelesaikan tugas” terhadap Hamas, walaupun dikecam oleh antarabangsa berikutan serangan yang semakin sengit.
Perang di Gaza dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, mengakibatkan kematian 1,219 orang di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Daripada 251 orang yang dijadikan tebusan semasa serangan itu, 47 masih ditahan di Gaza, termasuk 25 yang dikatakan tentera Israel, sudah mati.
Serangan balas Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 66,005 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas, yang dianggap PBB boleh dipercayai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




