am@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 200 pelajar sekolah rendah dan menengah pada 6 Oktober ini bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung cadangan penubuhan Tribunal Anti Buli.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi itu penting kerana pelajar sendiri adalah pihak yang berdepan situasi buli, sekali gus dapat memberi gambaran jelas mengenai tahap kesedaran mereka dan langkah pencegahan yang sesuai.
“Pandangan anak-anak ini berbeza dan mereka sendiri mengakui buli adalah masalah serius, dan juga ada cadangan sendiri tentang cara mencegahnya. Ini menunjukkan mereka mahukan satu sistem perlindungan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sesi Townhall Antibuli peringkat Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini, hari ini.
Azalina turut menegaskan, semua laporan berkaitan buli yang dibuat secara dalam talian akan kekal sulit dan tribunal akan melindungi pengadu apabila kes dibawa ke peringkat pendengaran.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan pelajar yang takut aduan mereka tidak dipercayai.
“Isu ini turut berlaku di negara lain, sehingga wujud jawatan Pesuruhjaya Keselamatan yang turun padang beri penerangan di sekolah,” katanya.
Katanya, tribunal itu juga akan menjadi platform bebas untuk pelajar atau ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah, termasuk sekolah swasta yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau institusi di bawah MARA.
“Sekolah swasta tak boleh lepas tangan hanya dengan minta ibu bapa tandatangan surat pelepasan tanggungjawab jika berlaku kes buli.
“Dari sudut undang-undang, sekolah tetap bertanggungjawab sebab mereka mengurus pelajar,” katanya.
Azalina berkata, Tribunal Anti Buli juga terbuka kepada kes buli yang berlaku di luar kawasan sekolah kerana buli tidak semestinya berlaku dalam premis pendidikan.
“Fasa pertama pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada pelajar bawah 18 tahun, berdasarkan nasihat Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam fasa kedua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




