LONDON: Bekas pertahanan Liverpool dan Fulham, John Arne Riise menggesa Cristiano Ronaldo menamatkan karier antarabangsanya selepas menyifatkan legenda Portugal itu tidak lagi mampu beraksi pada tahap tertinggi.
Menurut bekas tonggak Norway itu, kehadiran Ronaldo ketika ini lebih membebankan Portugal berbanding membantu pasukan, malah beliau menyalahkan bekas jurulatih Roberto Martinez kerana gagal menguruskan situasi membabitkan penyerang berusia 41 tahun itu dengan lebih tegas.
Penyingkiran Portugal pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 kembali mencetuskan perdebatan mengenai peranan Ronaldo dalam skuad kebangsaan, dengan ramai berpendapat kehadirannya mengehadkan fleksibiliti taktikal pasukan.
Riise berkata, Martinez sepatutnya mengutamakan kepentingan pasukan dan bukannya terus memberi layanan istimewa kepada pemain yang dianggap antara terbaik sepanjang zaman itu.
“Saya tahu jurulatih Portugal menyayangi Ronaldo, tetapi keseluruhan situasi di Piala Dunia kali ini agak menyedihkan.Pada satu ketika dia gagal menjaringkan gol, kemudian kembali meledak beberapa gol, tetapi selepas itu tenggelam semula.
“Jurulatih sepatutnya lebih tegas dan mengutamakan pasukan berbanding seorang individu,” katanya kepada BestBettingSites.
Walaupun Ronaldo masih memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa, Riise berpendapat bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu tidak lagi memiliki kemampuan fizikal untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Beliau turut menegaskan Ronaldo tidak sepatutnya meneruskan karier bersama Portugal sehingga Euro 2028 dan sudah tiba masanya generasi baharu diberi peluang untuk mengambil alih.
“Saya tidak fikir Ronaldo akan bersedia untuk Euro nanti. Dia patut menamatkan karier antarabangsanya dan menyerahkan peluang kepada pemain muda.
“Bola sepak moden memerlukan semua 11 pemain bekerja keras. Ronaldo tidak lagi melakukan perkara itu dan saya fikir kehadirannya kini lebih melemahkan Portugal daripada membantu mereka,” katanya.
Desakan supaya Ronaldo bersara semakin memuncak selepas Portugal tersingkir 0-1 kepada Sepanyol pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, dengan penyerang Al-Nassr itu hanya menjaringkan satu gol sepanjang aksi kalah mati.
Bagaimanapun, Ronaldo menegaskan beliau belum bersedia membuat keputusan mengenai masa depannya dan mahu mengambil masa bersama keluarga sebelum menentukan sama ada akan terus menyarung jersi Portugal.-AGENSI




