Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbandingan harga minyak perlu dibuat secara adil dengan negara yang mempunyai struktur ekonomi setara, bukannya dengan negara yang tidak mengeluarkan minyak.
Harga minyak lebih murah

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurut beliau, Malaysia wajar dibandingkan dengan negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), bukan negara yang bergantung sepenuhnya kepada import bahan api.
Beliau berkata, berdasarkan fakta semasa, harga petrol di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama tersebut.
“Jangan kita banding dengan negara yang bukan pengeluar minyak, yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.
“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu adalah fakta yang pertama yang harus diingat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) mengenai isu harga minyak serta langkah kerajaan menangani tekanan ekonomi susulan krisis global.
Pada sesi sama, Anwar berkata komitmen yang pernah dibuatnya sebelum ini untuk memastikan harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Arab Saudi telah pun ditunaikan.
Menurutnya, ketika kerajaan menurunkan harga minyak, harga petrol di Arab Saudi adalah sekitar 50 sen seliter. Kini, walaupun harga petrol di Malaysia berada pada paras RM1.99 seliter, ia masih lebih rendah berbanding harga di Arab Saudi yang melebihi RM2.40 seliter.
“Kalau dikatakan saya janji dulu, minyak harus lebih rendah daripada Arab Saudi, sudah ditunaikan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kritikan yang hanya memfokuskan kepada harga minyak tanpa mengambil kira keseluruhan bantuan kerajaan tidak memberikan gambaran sebenar.

Katanya, kerajaan kini menanggung pelbagai bentuk bantuan dan subsidi yang lebih besar, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi RON95, subsidi diesel serta bantuan kepada pelbagai sektor ekonomi.
“Keseluruhannya bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya kenyataan. Tetapi saya tidak mahu bandingkan kerana keadaan itu mungkin berbeza dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan daripada sekarang,” kongsinya.
Dalam pada itu, Anwar mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai cadangan lebih berkesan untuk menurunkan harga minyak agar mengemukakannya kepada kerajaan, bukannya sekadar melemparkan dakwaan.
“Kalau Yang Berhormat Hulu Terengganu merasakan ada cadangan lain tentang bagaimana boleh turunkan harga, saya boleh timbangkan, saya tidak ada masalah.
“Saya patut dengar dan saya setuju,” tambah Anwar.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menganggap mempunyai formula terbaik dalam menguruskan ekonomi, sebaliknya sentiasa bersedia menerima pandangan daripada pelbagai pihak termasuk industri, pekebun dan rakyat.
Menurutnya, pendekatan itu penting memandangkan landskap ekonomi sentiasa berubah dan dasar kerajaan perlu disesuaikan mengikut keperluan semasa.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan rakyat lebih memerlukan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi berbanding pertikaian politik yang berpanjangan.
“Saya tidak pernah mengatakan kita punyai semua ubatnya mujarab dalam ekonomi. Kita harus dengar dan kita ubah suai di mana yang mampu.
“Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat juga mahu jangan kita hanya politik sepanjang masa,” terangnya.
Artikel lain: Kerajaan masih ada mandat, belum masa bubarkan Parlimen – PM Anwar
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan masing-masing kerana kuasa untuk menentukan kepimpinan tetap berada di tangan rakyat.
“Jangan masing-masing terlalu yakin. Saya pun tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kita tawakal kepada Allah,” tambahnya lagi.
Sumber: MalaysiaGazette (Muhammad Azizul Osman)




