Kuala Lumpur : Penyanyi, Misha Omar terharu apabila wajahnya terpampang megah di papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat menerusi kempen #SpotifyEQUAL yang mengangkat suara wanita dalam industri muzik.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Misha atau mesra disapa Kak Mitch menyifatkan detik itu sebagai saat yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
“Melihat wajah Kak Mitch terpampang di papan iklan Times Square, New York menjadi satu detik yang tidak akan dapat Kak Mitch lupakan sepanjang hayat,” tulisnya.
Misha turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Spotify Malaysia dan Spotify Singapura atas pengiktirafan berkenaan.
“Jauh di sudut hati, kejayaan ini bukan hanya milik Kak Mitch semata-mata, tetapi kejayaan kita bersama. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Spotify, Spotify Singapura dan Spotify Malaysia kerana mengangkat suara wanita melalui kempen #SpotifyEQUAL ini,” katanya.
Menurutnya, sebagai wanita, setiap suara membawa kisah mengenai kekuatan, kasih sayang dan kecekalan yang menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya.
“Setiap kali kaki ini melangkah ke pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan dan setiap halangan yang berjaya kita tempuhi, tanpa kita sedari, kita sebenarnya sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya agar mereka dapat bersinar dengan lebih terang,” tulisnya.
Misha yang sudah 23 tahun berkecimpung dalam industri muzik berkata, pencapaian itu mengukuhkan kepercayaannya bahawa muzik bukan sekadar kerjaya, sebaliknya sebuah legasi hati yang mampu menyentuh jiwa pendengar.
“Selama 23 tahun ini, muzik menjadi wadah Kak Mitch untuk menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian semua.
“Detik bersejarah seperti ini semakin mengukuhkan kepercayaan Kak Mitch bahawa muzik bukan sekadar sebuah kerjaya, ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa setiap pendengar,” tulisnya.
Dalam pada itu, penyanyi Bunga-Bunga Cinta itu turut merakamkan penghargaan kepada label Sony Music Malaysia yang menjadi tulang belakang perjalanan seninya sejak awal kerjaya.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada label yang memayungi perjalanan seni Kak Mitch sebagai penyanyi @sonymusic_malaysia, @kennyongchuneng, @ally.siw, @veea.norman serta seluruh keluarga besar Sony Music Malaysia.
“Tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan kalian, tidak mungkin kerjasama ini mampu bertahan sehingga 23 tahun lamanya,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




