Sukarelawan GSF mula memasuki zon kuning

Sukarelawan GSF mula memasuki zon kuning

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan kumpulan pertama sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sudah melepasi zon kuning bagi menghampiri perairan Gaza malam ini.

Hasil pemantauan di dashboard Global Sumud Flotilla tracker, kapal Alma dari Barcelona itu melepasi zon kuning pada jam 9.30 malam waktu Malaysia.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kapal berkenaan turut membawa delegasi dari Malaysia atau sebaliknya.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pengarah dan jurucakap rasmi SNCC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery, malam ini.

Zon kuning terletak sejauh 300 batu nautika dari pesisir pantai Gaza dengan ia diklasifikasikan sebagai zon berjaga-jaga untuk semua sukarelawan GSF.

GSF yang membawa bantuan kemanusiaan meliputi bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan peserta terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.

Untuk rekod, seramai 34 rakyat Malaysia berada di atas beberapa kapal dalam flotilla itu.

Terdahulu, SNCC dilapor memaklumkan keseluruhan delegasi GSF dijangka tiba di Gaza seawal Khamis ini, jika tiada kapal dipintas rejim Zionis.

Jarak pelayaran dari zon kuning ke merah dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat hari, namun bergantung kepada faktor cuaca dan perkara lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top