sukan@hmetro.com.my
Seremban: Sabah FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA meskipun seri 0-0 dengan Bunga Raya FC, dalam perlawanan kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Perlawanan tertunda itu berlangsung di Paroi selepas aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 13 September lalu tidak dapat diteruskan kerana faktor cuaca.
Keputusan seri itu tidak menjejaskan kedudukan Sabah yang tampil dengan kelebihan 6-0 hasil kemenangan diraih pada aksi pertama di gelanggang sama, 17 Ogos lalu.
Kali ini, Sabah yang dibimbing Jean-Paul de Marigny bertindak sebagai tuan rumah dan diberikan tentangan sengit oleh Bunga Raya.
Sabah yang membawa bekalan enam gol merehatkan beberapa pemain utama seperti Fergus Tierney dan Stuart John Wilkin, sebaliknya mempertaruhkan Arzhad Harraz Arman dan S Kumaahran bagi mengemudi jentera serangan.
Sabah mendapat beberapa peluang menjaringkan gol terutama menerusi Kumaahran dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, tetapi barisan serangan mereka gagal menembusi benteng skuad Bunga Raya.
Bersambung babak kedua, Sabah dilihat meningkatkan kualiti persembahan mereka dengan menggandakan asakan, namun perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0.
Di suku akhir nanti, Sabah akan berdepan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) bermula perlawanan pertama pada 18 Oktober depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




