Ilmu kalam sering menjadi bahan polemik dalam kalangan umat Islam. Sebahagian pihak menisbahkannya sebagai ilmu bidaah yang menyesatkan, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai perisai akidah Islam daripada serangan syubhat dan kekufuran.
Dalam perbahasan ini, nama besar Imam al-Syafie tidak terkecuali daripada dikaitkan dengan isu penolakan terhadap ilmu kalam.
Ada riwayat masyhur menyatakan bahawa Imam al-Syafie pernah berkata: “Hukum saya ke atas ahli kalam ialah hendaklah dipukul dengan ranting dan selipar, diarak dalam kalangan puak dan kabilah, sambil dikatakan: ‘ini adalah balasan bagi meninggalkan kitab dan sunnah serta beralih kepada ilmu kalam.'” (Manāqib al-Syāfiʿī, 1970: 1/462)
Kenyataan keras ini sering dijadikan hujah bahawa beliau menolak ilmu kalam secara mutlak.
Namun, jika diperhatikan penjelasan lengkap Imam al-Bayhaqi dalam kitab yang sama, maksud al-Syafi’i sebenarnya merujuk kepada kalam golongan sesat yang meninggalkan al-Quran dan sunnah, lalu menjadikan akal semata-mata sebagai hujah.
Mereka menolak hadis sahih yang membatalkan pandangan mereka, malah menuduh perawi sebagai tidak dipercayai.
Ini bentuk kalam yang dikritik keras oleh Imam al-Syafi’i.
Justeru, tidak wajar untuk menisbahkan beliau sebagai penolak mutlak ilmu kalam.
Menurut al-Bayhaqi lagi, kalam yang tercela hanya kalam ahli bidaah yang bertentangan dengan al-Quran dan sunah.
Sebaliknya, kalam yang selari dengan nas syarak serta diperkuatkan dengan hujah akal yang sahih adalah sesuatu yang terpuji, bahkan boleh menjadi keperluan.
Beliau menegaskan bahawa Imam al-Syafie dan imam lain juga pernah membahaskannya ketika keadaan memerlukan (Manāqib al-Syafie, 1970: 1/467)
Ada yang mendakwa Salaf mencela ilmu kalam. Kefahaman yang dangkal ini muncul daripada sikap literalisme mereka yang hanya memetik kalam ulama tanpa memahami konteks.
Jika benar ilmu kalam itu tercela, mengapa Imam al-Syafie sendiri menyuruh orang ramai belajar ilmu kalam daripada Imam Abu Hanifah?
Diriwayatkan daripada al-Rabi’ bin Sulaiman, beliau berkata: “Aku mendengar al-Syafie berkata: ‘Sesiapa yang mahu belajar tafsir, maka hendaklah merujuk kepada Muqatil bin Sulaiman; sesiapa yang mahu belajar hadis sahih, maka hendaklah merujuk kepada Malik; dan sesiapa yang mahu belajar ilmu kalam (jadal), maka hendaklah merujuk kepada Abu Hanifah.'” (Tahdzib al-Kamal, 28/436)
Kehebatan Imam Abu Hanifah dalam ilmu kalam tidak diragui lagi oleh mereka yang menelusuri karya beliau dan pengikutnya.
Justeru, bagaimana mungkin Imam al-Syafie yang memuliakan Abu Hanifah dalam bidang ini dianggap menolak ilmu kalam secara mutlak?
Sejarah turut mencatatkan peristiwa penting apabila Imam al-Syafie sendiri berdebat dengan seorang tokoh besar Muktazilah iaitu Hafs al-Fard.
Dalam perdebatan terbabit, Hafs menegaskan bahawa al-Quran adalah makhluk, sedangkan Imam al-Syafie menolak keras pandangan itu.
Beliau bertegas bahawa al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk.
Perdebatan itu berlangsung sehingga Imam al-Syafie mengkafirkan Hafs al-Fard serta memutuskan hubungan dengannya (Manāqib al-Syafie 1970, jilid 1, halaman 456).
Kisah ini membuktikan bahawa Imam al-Syafie bukan sahaja tidak jahil tentang ilmu kalam, malah memiliki penguasaan yang tinggi sehingga mampu mengalahkan tokoh kalam sesat dalam hujah.
Ini menolak dakwaan bahawa beliau langsung menolak kalam tanpa pengecualian.
Lebih menarik, riwayat lain menyebut bahawa Imam al-Syafie pernah mendalami ilmu kalam lebih awal daripada fiqh.
Ketika beliau berhujah dengan seorang faqih, gaya hujahnya begitu teliti, tajam dan mendesak, hingga ada yang berkata: “Cara ini adalah cara ahli kalam, bukan cara fuqaha.” Imam al-Syafie lalu menjawab: “Aku telah menguasai yang itu (ilmu kalam) sebelum yang ini (ilmu fiqh).” (Manāqib al-Syāfiʿī, 1970, jilid 1, halaman 457)
Daripada rekod ini, jelas bahawa Imam al-Syafie bukan seorang penentang buta terhadap ilmu kalam.
Beliau mempelajarinya, memanfaatkannya untuk menolak aliran sesat, bahkan menegaskan peranan pentingnya ketika berdepan dengan cabaran akidah.
Penolakan beliau hanya khusus terhadap kalam yang menyimpang daripada manhaj Ahl al-Sunnah – iaitu kalam yang menolak al-Quran dan sunnah serta hanya bersandar kepada akal.
Kesimpulannya, polemik tentang kedudukan Imam al-Syafie terhadap ilmu kalam tidak boleh dibaca secara sepotong.
Kata-kata beliau perlu difahami dengan konteks yang tepat, sebagaimana penjelasan ulama muktabar seperti Imam al-Bayhaqi.
Imam al-Syafie adalah tokoh besar yang menguasai pelbagai bidang – fiqh, usul, hadis dan kalam.
Beliau menolak penggunaan kalam yang menyeleweng daripada manhaj Ahl al-Sunnah, tetapi tetap menggunakan kalam yang selari dengan al-Quran dan sunah untuk mempertahankan akidah umat.
Maka, tuduhan bahawa beliau menolak ilmu kalam secara mutlak adalah tidak benar.
Bahkan, realitinya beliau adalah contoh ulama yang bijaksana, yang mampu menimbang nilai sesuatu ilmu: menolak yang batil dan memanfaatkan yang benar demi mempertahankan kesucian agama.
Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd




