Lesen pembalakan: Pegawai Pemelihara Hutan didakwa terima rasuah RM649,169.68

Lesen pembalakan: Pegawai Pemelihara Hutan didakwa terima rasuah RM649,169.68

mhafis@mediaprima.com.my

Seremban: Seorang Pegawai Pemelihara Hutan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 116 pertuduhan menerima rasuah RM649,169.68.

Tertuduh, Nazri Husin, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanageswari Nalliah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM649,169.68 dari tahun 2019 sehingga tahun 2023 sebagai upah kerana membantu seorang individu untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan kerja pembalakan sebagai kontraktor pembalakan dalam Projek Ladang Hutan di kawasan Hutan Simpan Lesong (Mukim Keratong) Rompin, Pahang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; atau kedua-duanya.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Taufik Awaludin manakala tertuduh diwakili Nurul Nadia Norrizan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di SPRM yang berdekatan.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top