lokman.khairi@hmetro.com.my
Sepang: Enam peserta Sumud Nusantara yang terbabit penstrukturan semula misi Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan sudah sampai di tanah air, malam tadi.
Mereka ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei, Rezahmaisalamah Md Yusof.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, enam peserta itu akan memulakan tugas di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini, malam ini.
Selain itu, katanya, dua lagi aktivis Malaysia iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad sudah tiba di Amman, Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat.
Menurutnya, fokus sekarang terarah kepada misi membebaskan dan membawa pulang 23 aktivis GSF yang ditahan rejim Israel.
“Kita memasuki fasa negosiasi yang bukan mudah, saya kira kekuatan yang perlu dimainkan itu melibatkan kepimpinan yang merentasi sesuatu yang tak mungkin mudah untuk dilakukan.
“Jadi selepas fasa negosiasi, kita akan masuk dalam fasa membawa pulang insya-Allah,” katanya pada sidang media harian di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, hari ini.
Kelmarin, Sani Araby dilaporkan berkata, Sumud Nusantara melaksanakan proses penstrukturan peranan pada 28 September lalu susulan kondisi empat kapal flotilla yang mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran.
Penstrukturan itu dilaksanakan sebelum flotila memasuki Zon Merah 3 yang menyaksikan 23 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel.
Mereka ialah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
© New Straits Times Press (M) Bhd




