sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menggesa Pesuruhjaya Sukan (PJS) Malaysia memberi kata putus berhubung status persatuan itu selepas lebih setahun menanti.
Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, pihaknya masih menantikan maklumbalas PJS berhubung Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028 yang didakwa tidak sah.
Katanya, selagi pihaknya tidak menerima kata putus PJS, pihaknya tidak dapat mengadakan mesyuarat agung, sekali gus merencatkan pembangunan bola sepak di Kelantan.
“Kita faham apa kehendak penyokong dan peminat semua, atas tindakan itu pihak KAFA sudah bersetuju pada mesyuarat exco lepas, kita menunggu PJS Malaysia untuk beri kata putus sama ada penggantungan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap kami adalah sah ataupun tidak.
“Di pihak KAFA, kita dah mulakan tindakan dengan hantar surat dan afidavit rayuan kepada PJS atas isu yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, di sini.
Husin berkata, pihaknya menyasarkan sebaik menerima kata putus PJS, mesyuarat agung persatuan akan dilakukan dengan kadar segera, selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Katanya, pihaknya juga sedia berbincang dengan FAM bagi mempercepatkan maklumbalas daripada PJS.
“Selagi mesyuarat agung tidak dilakukan, ataupun status KAFA tergantung amat rumitlah untuk KAFA membuat apa-apa aktiviti dan pembangunan bola sepak negeri ini,” katanya.
Terdahulu, FAM menggantung keahlian KAFA serta merta selepas kongres pada Disember 2024 itu didakwa tidak sah.
Menurut FAM, keputusan dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM berikutan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan selain prosedur dan tatacara pengendalian kongres KAFA itu tidak dibuat dengan teratur dan tidak mengikut prosedur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




