Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, berkongsi pengalaman getir ketika ditahan rejim Zioni* dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut Heliza, tindakan tentera Isr**l terhadap sukarelawan dianggap sangat kejam, malah melanggar hak asasi manusia apabila mereka diseksa secara fizikal dan mental sepanjang tempoh tahanan.
“Memang benar mereka sangat kejam. Allah pelihara kami, tetapi ketika kami tegaskan hijab itu wajib, mereka langsung tidak peduli.
“Tentera wanita lebih kejam berbanding lelaki. Mujur ada tentera lelaki yang membenarkan kami terus berhijab,” katanya dalam temu bual bersama media tempatan.
Heliza turut mendedahkan dia dan adiknya, Hazwani Helmi, sengaja dipisahkan dan ditempatkan di penjara berbeza bagi menekan emosi mereka.
“Kami cuba menjelaskan mengapa perlu berpakaian berlapis, namun tetap ditekan. Dua hingga tiga hari tanpa makanan dan minuman sudah cukup membuatkan kami lemah, sedangkan itu hanya secebis daripada penderitaan rakyat Gaza,” katanya.
Meskipun dilayan teruk oleh zioni*, namun Heliza berkata kesemua sukarelawan GSF yang berada dalam tahanan penjara tidak gentir berhadapan tentera Isr**l.
“Walaupun laser senjata dah diacukan ke kepala, kami tidak gentar. Kami tetap melaungkan ‘Free Palestine’. Tiada seorang pun yang patah semangat.
“Mereka mengeluarkan kata-kata yang menghina, tetapi kami tetap bertahan. Ketika tiba di Turkiye, senyuman kami menggambarkan semangat yang kami bawa daripada Palestin,” ujarnya.
Sementara itu, Hazwani menjelaskan taktik propaganda rejim Zioni* yang cuba memanipulasi keadaan sebenar di dalam penjara.
“Kami diikat mata dan ditempatkan dalam ruang kecil. Apabila meminta air, tidak dilayan. Namun, ketika mahu dilepaskan, mereka memberi air sambil merakam video kononnya kami diberi layanan baik. Itu semua propaganda,” katanya.
Dalam temu bual bersama agensi berita Anadolu English sebelum ini, Heliza turut mendedahkan dia dan sukarelawan lain terpaksa meminum air tandas bagi menghilangkan dahaga sepanjang ditahan.
Sumber: Awani




