am@hmetro.com.my
Kota Belud: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani sejak Ahad lalu, diteruskan hari ini dengan bantuan helikopter dan penyelam profesional.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, operasi hari kedua itu digerakkan pada 9.59 pagi selepas semua pasukan penyelamat tiba di lokasi dan dibahagi kepada pasukan pencarian di darat dan laut.
“Pasukan A dan B yang terdiri daripada anggota bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung memulakan pencarian di kawasan hutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelam Unit Penyelamat di Air (PPDA) bersama penyelam Professional Association of Diving Instructors (PADI) turut melaksanakan pencarian dasar laut bagi mengesan sebarang petunjuk mengenai kehilangan mangsa.
Katanya lagi, operasi turut dibantu helikopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang melakukan pemantauan udara di kawasan sekitar pulau bagi memperluas sektor pencarian.
“Setakat ini, barangan peribadi kedua-dua mangsa masih ditemui di dalam bilik penginapan mereka,” katanya yang memaklumkan pencarian menyeluruh di kawasan darat, laut dan udara, dan akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.
Media semalam melaporkan sepasang pelancong China, Yu Xiapeng, 25, dan Fan Qin, 28, yang menginap di sebuah resort di Pulau Mantanani dilapor hilang tanpa jejak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




