Maguire bakal terus kekal di Man United

Maguire bakal terus kekal di Man United

London: Harry Maguire berharap dapat menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United sebelum berakhir tahun ini.

Pemain pertahanan tengah berusia 32 tahun itu kini menghampiri lapan bulan terakhir kontrak sedia ada, namun rundingan lanjutan sedang dijalankan.

Pengarah rundingan bola sepak United, Matt Hargreaves, dilaporkan sudah mengadakan perbincangan awal dengan wakil pemain antarabangsa England itu.

United sebelum ini mengaktifkan lanjutan automatik setahun kontrak Maguire pada Januari lalu atas permintaan pengendali pasukan, Ruben Amorim.

Berbeza dengan cubaan kelab menurunkan gaji David de Gea sebelum penjaga gol itu meninggalkan pasukan dua tahun lalu, Maguire dijangka kekal dengan menerima gaji sedia ada.

Bagaimanapun, gajinya sudah dipotong sebanyak 25 peratus selepas United gagal layak ke Liga Juara-Juara pada Mei 2024, menjadikan pendapatannya kini sekitar £140,000 (RM789,900 ) seminggu.

Amorim turut memberi kepercayaan kepada bekas bintang Leicester itu untuk menjadi kapten pasukan ketika tewas pada Piala Liga di tangan Grimsby Town pada Ogos lalu, kali pertama Maguire mengetuai United sejak dilucutkan lilitan kapten oleh bekas pengurus, Erik ten Hag, pada Julai 2023.

Walaupun masih belum kembali dalam skuad kebangsaan England, Maguire tetap menikmati dua musim yang mengagumkan bersama United.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top