Negeri Sembilan tingkatkan pemantauan kes influenza – MB

Negeri Sembilan tingkatkan pemantauan kes influenza – MB

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dapat memantau perkembangan penularan jangkitan influenza A dan B yang dilaporkan meningkat dan turut membabitkan institusi pendidikan.

Beliau berkata, pemantauan itu penting supaya perkembangan kes penyakit berkenaan dapat dilihat dari semasa ke semasa dan seterusnya langkah proaktif dapat dilaksanakan terutama dalam mengawal jangkitan.

“Saya berharap dapat dilakukan pemantauan kerana ketika ini ramai pelajar sedang dalam persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi dan sekarang ini pun sedang ada peperiksaan percubaan.

“Kita berharap supaya pihak sekolah (JPNS) dapat memantau dan melihat perkembangan penyakit ini dari semasa ke semasa dengan menghubungi jabatan kesihatan supaya penularan penyakit ini tidak berleluasa terutama membabitkan pelajar di negeri ini.

“Pemantauan dan tindakan proaktif serta berjaga-jaga perlu dilakukan bagi memastikan tiada kalangan pelajar dari negeri ini yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Best 2025, di Perkarangan Muzium Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip.

Beliau mengulas mengenai laporan media mengenai sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti membabitkan institusi pendidikan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan semalam memaklumkan semua negeri melaporkan peningkatan kes, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15 kluster), Pulau Pinang (10 kluster), Johor (sembilan kluster) dan Kedah (lima kluster).

Mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memperkasakan Adat Perpatih kerana ia adalah warisan dan identiti Negeri Sembilan.

Menurutnya, pengwujudan banyak kelab Adat Perpatih di sekolah ketika ini memberi gambaran yang positif terhadap adat berkenaan terutama dalam kalangan generasi muda.

“Melalui pelbagai usaha dilakukan diharap masyarakat tanpa mengira peringkat dapat memahami dengan lebih jelas tentang keunikan Adat Perpatih dan memastikan tradisi yang bernilai tinggi ini terus diwarisi generasi akan datang,” katanya yang menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung pada Perpatih Best tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top