Pasangan suami isteri 'tauke' Warung Aziz Satar maut tragedi

Pasangan suami isteri 'tauke' Warung Aziz Satar maut tragedi

am@hmetro.com.my

Maran: Sepasang suami isteri yang juga pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar maut manakala tiga pekerja mereka cedera sejurus kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas di Kilometer 162.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang semalam, mangsa, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menuju ke Kemaman, Terengganu, bersama empat pekerja dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Ketika tiba di lokasi, hujan lebat dan permukaan jalan licin menyebabkan pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga pekerja serta seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera,” katanya tadi.

Beliau berkata, mangsa yang cedera ialah Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45; dan Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8 tahun, yang kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat yang dijalankan awal pagi ini.

“Punca kemalangan dipercayai akibat cuaca hujan lebat dan keadaan jalan yang licin. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu terkenal dalam kalangan penduduk tempatan di Kemaman kerana mengusahakan Warung Aziz Satar, sebuah kedai makan yang menjadi tumpuan penggemar makanan laut panggang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top