Young Tigers belum serasi corak permainan terbuka – Nor Saiful Zaini

Young Tigers belum serasi corak permainan terbuka – Nor Saiful Zaini

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Skuad remaja negara gagal mengotakan janji untuk tampil garang apabila tewas 2-7 kepada Pakistan dalam Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, kekalahan yang dialami barisan pemainnya berpunca daripada kegagalan mereka bermain secara terbuka yang dipraktikkan dalam permainan hoki moden.

“Ini perlawanan pertama semenjak saya mengendali pasukan enam bulan lalu dan kita tidak pernah beraksi menentang Pakistan dan India dan kita cuba bermain terbuka dengan Pakistan iaitu satu lawan satu dan nampak kebanyakan pemain kecuali Andywalfian (Jeffrynus) yang bermain skuad senior beraksi secara terbuka.

“Yang lain tak mampu bermain satu lawan satu dan ia bermain secara terbuka di seluruh padang tapi pemain Pakistan berpengalaman dan ada di kalangan mereka bermain untuk skuad senior dan sudah biasa bermain cara begitu.

“Secara keseluruhan saya rasa semua pasukan akan bermain secara begini dan kita akan berdepan tiga perlawanan lagi yang mengamal corak permainan terbuka dan perlu bersedia untuk mempraktikkan permainan hoki moden,” kata Nor Saiful Zaini.

Belum sempat barisan pemain Young Tigers berada dalam keadaan bersedia, gawang mereka sudah dibolosi seawal minit ketiga pada suku pertama permainan selepas Sufyan Khan meledak gol pertama buat Pakistan apabila menyudahkan pukulan sudut penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Haziq Muizuddin Hairul Mizan.

Sebaik suku kedua bermula, anak didik Nor Saiful Zaini hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-18 selepas Shafiq Adam Harris Suzaini memukul deras tatkala berada di dalam kawasan D namun penjaga gol Pakistan Ali Raza bingkas menampan bola.

Selepas mengasak ke kubu anak didik Kamran Ashraf, akhirnya Young Tigers berjaya menyamakan jaringan pada minit ke-20 suku kedua permainan selepas bola pukulan Adam Asyraf Mohd Johari berjaya ditampan Ali namun Ammar Qusyairi Abd Halim melakukan pukulan sudut untuk mengikat kedudukan 1-1.

Bagaimanapun gol penyamaan Young Tigers tidak bertahan lama selepas Pakistan kembali mendahului 2-1 hasil pukulan sudut penalti Sufyan yang mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-21 di suku kedua permainan.

Benteng Young Tigers begitu rapuh dan mudah ditewaskan pada minit ke-30 selepas membiarkan kapten Hannan Shahid menyusup masuk ke kawasan D secara solo sebelum melakukan pukulan kilas menewaskan Haziq Muizuddin.

Sebaik babak kedua pada suku ketiga bermula, anak didik Kamran menambah derita Young Tigers apabila mudah menjaringkan gol pada minit ke-32 menerusi pukulan sudut penalti Nadeem Khan meletak kedudukan 4-1 dan disusuli gol kelima menerusi Sufyan yang meledak hatrik hasil gol pukulan sudut penalti pada minit ke-34.

Dalam situasi tertekan, Young Tigers mengurangkan defisit jaringan selepas Azimuddin Shakir Kamaruddin menyudahkan pukulan sudut penalti menewaskan Ali untuk kedudukan 3-5.

Namun jaringan Young Tigers tidak mematah semangat Pakistan untuk merobek gawang mereka menerusi pukulan sudut penalti Nadem pada minit ke-44.

Memasuki suku keempat permainan, Pakistan begitu mudah meratah benteng Young Tigers apabila Fayyaz Hamza tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-52 selepas melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol gantian, Muaz Bashir Shabri.

Sementara itu, reputasi Britain selaku juara bertahan tercalar selepas tewas tipis 2-3 kepada India pada aksi pertama.

Skuad kendalian Sreejesh P Raveendran mencipta jaringan pada minit ke-23 menerusi gol padang Ravneet Singh namun selang tiga minit kemudian Britain menyamakan jaringan menerusi gol padang Michael Royden.

Kapten India, Rohit meletak pasukan itu mendahului 2-1 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45 namun pada minit ke-46, Kaden Draysey menyamakan jaringan.

Usaha berterusan ketua jurulatih Britain, Jon Bleby merencana taktikal ampuh untuk memburu kemenangan tidak kesampaian selepas Rohit meledak pukulan kencang ketika mengambil pukulan sudut penalti pada minit ke-52 bagi memastikan kemenangan buat juara SOJC 2022 itu

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top