“Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP” -Loke

“Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP” -Loke

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membalas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Rela tiada jawatan

Pertikaman lidah itu tercetus selepas Onn Hafiz ketika pelancaran jentera pilihan raya BN di EduCity, Iskandar Puteri menyatakan beliau lebih rela melepaskan jawatan daripada bekerjasama dengan DAP.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dengan mereka. Ini semangat Johor, Bangsa Johor,” katanya.

Susulan kenyataan tersebut, Loke tampil memberikan respons menerusi satu hantaran di Facebook yang kemudian tular di media sosial.

“Anda tidak mahu duduk semeja dengan DAP…… Bagus! Teruskan dengan sikap angkuh anda.
“Tetapi presiden anda duduk di sebelah Setiausaha Agung DAP setiap minggu, sekadar untuk anda tahu… terima kasih!” tulisnya.

Hal berkenaan dipercayai merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan bersama pemimpin DAP di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu turut menyerlahkan perbezaan pendirian politik di peringkat Persekutuan dan negeri Johor.

Walaupun UMNO dan DAP bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Onn Hafiz sebelum ini menegaskan pendirian BN Johor untuk tidak bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.

Beliau juga menafikan pendirian tersebut didorong sentimen perkauman, sebaliknya berlandaskan prinsip politik serta konsep Bangsa Johor yang diperjuangkan di negeri itu.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Scroll to Top