“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa” -PM Anwar

“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa” -PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan untuk tidak tergesa-gesa mengadakan pilihan raya bukan bertujuan mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, sebaliknya bagi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Fokus masalah rakyat dahulu

Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau menyatakan kestabilan politik amat penting bagi meyakinkan pelabur serta memastikan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat dahulu. Politik mesti stabil. Saya tidak mahu politik hanya digunakan untuk propaganda atau menjaga kedudukan.
“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa, tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, hari ini.

Pengurusan ekonomi sangat penting

Anwar menyatakan kerajaan kini sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan berteknologi tinggi serta meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabaikan keperluan asas di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pengukuhan nilai ringgit ketika ini menjadi petunjuk bahawa ekonomi negara semakin stabil hasil pelaksanaan dasar yang lebih tersusun dan berkesan.

“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur?
“Cuba lihat negara jiran dan kekuatan mata wang mereka. Hari ini ramai yang pergi ke Indonesia dan negara lain serta dapat melihat nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk berdepan pelbagai cabaran termasuk menstabilkan mata wang, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing sekiranya kestabilan politik dapat dikekalkan.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan kerajaan Persekutuan sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan.

“Walaupun saya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran negara, saya mahu gunakan amanah yang diberikan untuk membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.
“Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu menggunakan kuasa untuk memperkayakan anak, isteri atau keluarga,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin dan masyarakat supaya terus bersabar serta istiqamah dalam mendukung agenda pembangunan negara yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI.

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

Scroll to Top