London: Pertahanan England, Jarell Quansah terpaksa diketepikan daripada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Latvia selepas mengalami kecederaan, sekali gus kembali ke kelabnya, Bayer Leverkusen, bagi menjalani rawatan.
Persatuan Bola Sepak England (FA) dalam satu kenyataan semalam tidak memperincikan jenis kecederaan dialami pemain berusia 22 tahun itu, namun memaklumkan keputusan menghantarnya pulang dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
Bekas pertahanan Liverpool itu menjadi tonggak utama benteng pertahanan Leverkusen musim ini, namun tidak diturunkan ketika England menewaskan Wales 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley, Khamis lalu.
England turut mengesahkan tiada sebarang panggilan tambahan dibuat menjelang aksi menentang Latvia di Riga, Selasa ini.
Sementara itu, skuad kendalian Thomas Tuchel kini mengungguli kumpulan kelayakan Piala Dunia dengan rekod sempurna lima kemenangan daripada lima perlawanan, manakala Latvia berada di tangga keempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




