firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, Mehmet Durakovic berpotensi kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila bekas pengendali Selangor dan Perak itu dikaitkan dengan sebuah pasukan tempatan yang difahamkan sedang merancang rombakan besar-besaran.
Menurut sumber, pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu berminat mendapatkan khidmat pengendali kelahiran Australia berusia 61 tahun berkenaan bagi mengemudi cabaran mereka dalam kempen baharu Liga M, namun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Nama Durakovic bukan asing dalam arena bola sepak tempatan apabila beliau pernah mencipta kejayaan besar bersama Selangor dengan menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia 2015, sekali gus menamatkan penantian panjang skuad Gergasi Merah untuk menjulang trofi berprestij itu.
Sentuhan emas beliau terus terserlah apabila berjaya mengulangi pencapaian sama bersama Perak pada 2018 apabila membimbing skuad The Bos Gaurus menewaskan Terengganu dalam aksi final dramatik menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam.
Rekod cemerlang itu menjadikan Durakovic antara jurulatih asing yang pernah meninggalkan impak besar dalam saingan domestik, terutama dalam kejohanan kalah mati yang sering menuntut pengalaman dan kebijaksanaan taktikal tinggi.
Difahamkan, pihak pengurusan kelab terbabit melihat pengalaman luas serta pemahaman mendalam Durakovic mengenai landskap bola sepak Malaysia sebagai faktor utama yang menjadikan beliau antara calon pilihan untuk mengisi jawatan berkenaan.
Selain pernah membimbing beberapa pasukan di Malaysia, Durakovic juga mempunyai reputasi sebagai jurulatih yang mampu membentuk pasukan kompetitif walaupun berdepan kekangan tertentu, sekali gus menjadikan namanya terus relevan dalam kalangan pengurusan kelab tempatan.
Bagaimanapun, setakat ini status sebenar rundingan masih menjadi tanda tanya dan segala-galanya dijangka hanya akan diketahui selepas kelab berkenaan memuktamadkan perancangan mereka bagi menghadapi musim baharu yang dijangka lebih mencabar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




