Belanjawan 2026: Harap penggiat industri kreatif tempatan dapat manfaat

Belanjawan 2026: Harap penggiat industri kreatif tempatan dapat manfaat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengasas dan Pengarah Urusan, Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berharap penggiat seni mendapat manfaat daripada peruntukan RM140 juta dalam Belanjawan 2026 untuk pembangunan industri kreatif tempatan.

Burhanuddin yang juga penerbit siri animasi popular Upin dan Ipin dan filem Dongeng Sang Kancil berkata, pihaknya juga berharap pengagihan dana berkenaan akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

“Saya juga harapkan hanya mereka yang benar-benar layak dan tampil dengan produk yang bagus dapat geran daripada kerajaan.

“Berbanding pada tahun sebelumnya, banyak produk tidak berkualiti dan mereka yang tidak layak dapat geran berkenaan,” katanya.

Mengenai kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan pula, kata Burhanudin, ia sangat membantu untuk membangunkan perniagaan cendera hati daripada syarikat animasi negara.

Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment yang juga penganjur konsert, Iman Tang turut meluahkan rasa syukur dengan peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan 2026 khusus untuk penganjuran konsert.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan mahu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendengar dan membantu penggiat seni yang terbabit dalam penganjuran konsert.

“Menerusi peruntukan itu, kami juga boleh membantu kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong masuk ke negara ini sekali gus memajukan ekonomi negara.

“Jika rakyat kita keluar untuk menonton konsert di luar negara seperti di negara jiran iaitu Singapura dan Thailand, lebih banyak mata wang kita akan mengalir ke luar negara.

“Jadi kalau ada bantuan atau insentif dari kerajaan, pihak kami boleh tingkatkan produksi penganjuran konsert yang lebih bagus, kreatif supaya pelancong atau peminat dari luar negara tertarik untuk menonton konsert tempatan,” katanya yang juga penganjur Konsert GenKRU 2025 selama empat malam yang mencetuskan fenomena pada Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top