Lindung banduan dari cuaca panas, Korea Selatan pasang pendingin hawa di penjara

Lindung banduan dari cuaca panas, Korea Selatan pasang pendingin hawa di penjara

Seoul: Korea Selatan sedang meneruskan rancangan untuk menyediakan penghawa dingin kepada banduan penjara walaupun terdapat bantahan awam terhadap penggunaan wang pembayar cukai.

Memetik Independent, Kementerian Kehakiman pada Selasa memaklumkan, naik taraf sistem penyejukan di penjara akan menjadi langkah minimum untuk melindungi banduan dan pegawai pemulihan daripada cuaca panas dengan kos 1.2 bilion won (kira-kira RM3.10 juta).

Bagi mempertahankan cadangan itu, kementerian berkata, penghawa dingin akan dipasang di koridor dan bukan di dalam sel penjara serta berfungsi sebagai kaedah penyejukan tidak langsung.

Kementerian itu akan memberi keutamaan kepada blok penjara yang menempatkan banduan warga emas, orang kurang upaya dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan asas.

Difahamkan, beberapa unit wanita juga dipilih selepas penilaian berdasarkan kesesakan, kelemahan fizikal dan keadaan keseluruhan penahanan.

Dalam pada itu, kementerian berkata, cadangan itu adalah langkah paling minimum yang boleh dilakukan untuk melindungi nyawa dan keselamatan fizikal banduan yang terdedah kepada cuaca panas melampau.

“Kami sedang memperkukuhkan kemudahan penyejukan terutamanya di unit perumahan penjara yang menempatkan banduan terdedah kepada penyakit berkaitan haba, termasuk warga emas, orang kurang upaya dan pesakit.

“Kementerian Kehakiman secara berterusan melaksanakan langkah untuk menangani cuaca panas melampau dan mencegah penyakit berkaitan haba, termasuk mengoperasikan pusat perlindungan sejuk dan menyediakan air berais,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Cadangan itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pihak yang menganggapnya sebagai pembaziran dana awam.

Difahamkan, walaupun suhu meningkat setiap tahun, penjara di Korea Selatan ketika ini hanya mempunyai kipas elektrik yang dimatikan selama 10 minit selepas digunakan selama 50 minit untuk mengelakkan terlalu panas, menurut The Asia Business Daily.

Sekurang-kurangnya tujuh kes penyakit berkaitan haba direkodkan di lima fasiliti penjara pada Julai tahun lalu ketika suhu maksimum harian mencecah 33 darjah Celsius.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top