'Ulat' ditahan ketika pujuk, rayu warga Pakistan di KLIA

'Ulat' ditahan ketika pujuk, rayu warga Pakistan di KLIA

mhafis@mediaprima.com.my

Foto Ihsan JPJ

Sepang: Seorang pemandu Proton Saga ditahan selepas didapati menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Tangkapan ‘ulat’ berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa hasil daripada aktiviti intipan dan pemantauan berterusan yang dijalankan di Stesen Penguatkuasa KLIA.

Beliau berkata, susulan tindakan penguatkuasaan itu, seorang pemandu kenderaan Proton Saga ditahan, manakala kenderaannya disita untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ itu memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga penumpang warga Pakistan dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dengan tambang RM60 dan ia dibayar bila sampai ke destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua – duanya, jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top