am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan 17 saksi dalam siasatan terhadap Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, berhubung kenyataannya yang menggesa pemansuhan program matrikulasi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, keterangan daripada 17 saksi sudah diambil dan siasatan terhadap kenyataan Tang mengenai pemansuhan program matrikulasi serta cadangan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya syarat kemasukan ke universiti awam masih diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
23 September lalu, polis merakam keterangan Tang selepas 14 laporan polis dibuat berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, Ye Ze mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan pemansuhan program matrikulasi dan mencadangkan kemasukan ke universiti awam hanya berasaskan keputusan STPM.
Beliau kemudian memohon maaf dan menjelaskan bahawa penggunaan perkataan ‘hapuskan’ sudah menimbulkan salah faham.
Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (PH–Bagan) yang meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.
Lim turut bertanya mengenai tindakan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini mencadangkan pemansuhan sekolah vernakular.
Mengulas perkara itu, Saifuddin menjelaskan bahawa tiada laporan polis diterima berkaitan kenyataan Dr Akmal.
Terdahulu, Dr Akmal mencadangkan agar sistem pendidikan vernakular dikaji semula susulan kebimbangan terhadap pemisahan dan kurangnya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau mendakwa, ketegangan yang semakin meningkat berpunca daripada sistem pemisahan sejak peringkat awal pendidikan yang menurutnya menyumbang kepada kurangnya interaksi antara kaum.
© New Straits Times Press (M) Bhd




