mohamadridzuan@hmetro.com.my
SIRI 3
BERCERITA pengalaman sepanjang dalam penjara El-Rodeo II di Venezuela, Ringgo berkata, layanan yang diterimanya sama sahaja.
“Penjara mana-mana pun sama. Okay sajalah. Kita macam geng. Kalau kita tunjuk lorat (berlagak), samseng ke, kita kenalah. Saya pun ada juga lawan orang sana.
“Normallah orang-orang dalam itu kan? Macam-macam kepala satu dunia, tapi seronok pun seronok juga. Dia kalau seronok, seronok sangat, macam kawan.
“Kita berkawan… best. Kita kenal orang satu dunia. Di sana ramai orang Eropah dalam 200 orang di tempat saya. Orang Asia, saya seorang,” katanya.
Menurutnya, sepanjang dalam tahanan, dia diberitahu terdapat banduan warga negara China sebelum itu, tetapi sudah dibebaskan.
Katanya, perasaan rindu kepada keluarga sentiasa mengamit jiwanya dan dia kerap berinteraksi menerusi e-mel selain telefon.
“Agak rindu juga dengan keluarga, cuma masa itu bila ada telefon, kita guna telefon, maka saya telefon mereka (keluarga). Ia bukan smartphone macam ini (sekarang), tapi yang lama, yang boleh ada internet.
“Jadi bolehlah saya hantar emel, ketika itu zaman Yahoo lagi, Hotmail, bolehlah berdialog dengan keluarga, adik saya jadi perantara saya serta kawan-kawan sikit.
“Pihak kedutaan Malaysia di sana juga akan hantar kiriman daripada keluarga dalam sebulan sekali, atau dua bulan sekali,” katanya.
Katanya, apabila sudah tiada duit, dia akan menghantar mesej kepada pihak kedutaan dan akan tahu bila duit akan datang dan buat persediaan.
“Telefon bimbit saya sorok, sebab kita bayar. Macam-macam lagi, pistol, dadah dalam (penjara) itu semuanya ada. Saya makan pula betul-betul masak sendiri.
“Saya ada macam bilik sendiri. Saya ada satu set alat masak, bulat macam ubat nyamuk. Dia cucuk dengan wayar merah, masak dalam periuk kecil atau kuali.
“Saya masak ala kadar. Contohnya, telur, sardin macam itulah yang saya boleh makan. Duit sendiri, perlu duit untuk hidup di sana. Mereka beri makanan juga, tapi tak pernah cukup pun,” katanya.
Menurutnya, ada ketika banduan bergaduh sesama sendiri kerana berebut makanan, tetapi dia hanya makan apa yang sesuai sahaja serta halal.
“Kalau stok makanan saya habis, saya makanlah. Contohnya, kalau ada spageti, saya makan. Ada roti, ada telur, saya ambil. Kalau dia masak macam pelik-pelik, yang haram, saya tak makan.
“Cuma kadang-kadang, orang kedutaan, kawan lama saya kata, kalau tak ada apa sangat, makan sajalah. Bukan makan untuk sedap, saya jamahlah sikit daging, daging kuda pun, mereka beri.
“Mereka tak faham Muslim, tapi ada juga orang Eropah yang faham. Bila saya solat, mereka tanya, awak berdoa? Mereka tahu, orang Eropah tahu,” katanya.
Ringgo berkata, di negara terbabit terdapat komuniti Islam dan dia tinggal di sebuah bilik untuk bekerja apabila mendapat parol.
“Sana (Venezuela) ramai orang Arab. Negara itu, negara sosialis macam semi-komunis, itu yang saya faham. Mereka pro kepada negara Arab, Libya dan Palestin.
“Sebabnya Venezuela antara pengeluar minyak terbesar dunia. Mereka bina masjid besar, kompleks dua tingkat. Di bawah ada dewan, dewan masak di mana orang Islam berkumpul untuk aktiviti.
“Hari Jumaat, hari Raya. Saya agak aktif dan rasa seronok sikit sebab kita boleh makan yang halal, ada aktiviti Islam,” katanya.
Mengimbas lanjut, Ringgo pernah menendang banduan lain kerana diusik oleh mereka.
“Mereka selalu bergaduh. Yang mati pun ada… biasa. Orang-orang ini semua kepala macam-macam. Yang baik memang baik, yang samseng macam biasalah.
“Saya pernah tengok, kawan-kawan bergaduh. Saya sendiri pun ada bergaduh, tapi bukan saya mencari gaduh. Orang itu usik saya, bila tak tahan, saya terajang punggung dia. Dia takut.
“Satu bilik semua takut. Saya badan kecil tapi mereka badan besar. Benda itu jadi macam spontan, tiba-tiba. Selepas itu mereka hormat saya dan tak ganggu dah,” katanya.
Semasa diparol, Ringgo berkata, dia perlu bekerja untuk memenuhi masa, tetapi nilai mata wang negara terbabit tidak besar.
“Kalau saya kumpul duit pun, nilai dia akan turun balik. Saya kerja kelindan dengan satu kawan, orang Arab. Kami naik van hantar roti shawarma,” katanya.
Dua kali rasa terkilan
Peristiwa yang membuatkan Ringgo terkilan sudah tentunya apabila tidak dapat berjumpa vokalis Fotograf, Shamrin yang meninggal dunia pada 11 November 2010.
“Tarikh Ogos 2010 saya keluar dari penjara dan jalani parol. Dari Ogos, September dan November, saya sering ke pejabat kedutaan Malaysia sebab ada bilik perpustakaan dan kemudahan Internet.
“Sebaik pulang dari kedutaan, saya dihubungi kakitangannya memaklumkan kematian Shamrin. Saya yang ketika itu berdiri dalam tren dipanggil Metro, terus terkedu.
“Keadaan dalam tren pada waktu itu agak padat dengan orang ramai yang pulang dari kerja. Tiada ruang untuk duduk bersendirian bagi menghadam berita sedih itu,” katanya.
Perasaan terkilan kedua pada 2014 iaitu setahun sebelum balik ke Malaysia apabila Ringgo menerima berita sedih bahawa bapanya meninggal dunia.
“Pagi-pagi adik perempuan saya telefon. Jam 3 pagi, saya tengok panggilan dari Malaysia. Saya dah tak sedap hati, dia sampaikan berita abah saya meninggal dunia.
“Pada 2016 apabila berada di Malaysia, saya sempat melawat Big, pengurus Fotograf yang sakit dan kemudian meninggal dunia. Tak sempatlah kami nak bincang lebih lanjut mengenai Fotograf,” katanya.
Terkini, Ringgo tampil dengan kumpulan Fotograf New Era yang menampilkan Zam sebagai pemain bass, Fad (penyanyi) dan Toin (gitar).
© New Straits Times Press (M) Bhd




