'Little Karachi' di Puchong

'Little Karachi' di Puchong

am@hmetro.com.my

Foto Raja Noraina Raja Rahim dan

Video Noor Hidayah Tanzizi

Puchong: Kawasan Kampung Batu 12 Puchong di sini tidak ubah seperti ‘Little Karachi’ apabila kehadiran ramai warga Pakistan yang menguasai lokasi berkenaan.

Bukan hanya membabitkan isu kediaman, malah hampir semua sektor perniagaan di kawasan itu dikuasai golongan terbabit yang mendominasi lot kedainya.

Kehadiran mereka tidak lagi sebagai pekerja asing, sebaliknya rata-ratanya bergelar ‘tauke’ dan membina keluarga sendiri di kediaman yang selesa.

Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Muhammad Aidil Zailani, 31, berkata, pihaknya kerap menerima aduan berkaitan kehadiran warga asing termasuk yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, selain Pakistan terdapat juga pendatang asing lain termasuk Bangladesh, Indonesia dan Rohingya.

“Kampung Batu 12 ini adalah gabungan lima kampung iaitu Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Langkas, Kampung Sri Andalas, Kampung Sri Langkas Tambahan dan Kampung Bersatu yang boleh dikatakan hampir keseluruhan mempunyai penghuni warga asing.

“Kampung Sri Langkas Tambahan ramai Rohingya dan Kampung Bersatu pula ramai Pakistan, malah warga asing ini turut menjalankan perniagaan menjual barangan elektrik terpakai seperti peti ais dan mesin basuh, kedai runcit, perabot serta permaidani.

“Lebih melampau apabila mereka meletakkan barangan jualan di kaki lima kedai dan tepi jalan hingga mengganggu laluan penduduk. Apabila kita tegur dan beri amaran suruh alihkan, mereka ikut tapi ulang balik perbuatan sama di hari lain, seolah-olah tak takut,” katanya.

Muhammad Aidil mendakwa tindakan warga asing itu semakin bermaharajalela hingga tidak menghormati penduduk setempat, malah memberi saingan kepada peniaga tempatan.

Dakwanya juga, komuniti warga asing berkenaan terutama menjalankan perniagaan ‘dipayungi’ pihak tertentu disyaki rakan senegara yang sudah lama menetap dan berniaga di negara ini, menjadikan komuniti itu kuat.

“Premis memang milik orang tempatan dipercayai disewakan kepada warga asing dan tidak mustahil lesen perniagaan juga diberikan kepada peniaga asing itu. Lebih menyedihkan ada anak tempatan bekerja dengan mereka.

“Pemeriksaan mendapati premis disewakan pada kadar bulanan antara RM1,000 hingga RM4,000 iaitu lebih tinggi berbanding disewakan kepada peniaga tempatan.

“Mungkin sebab itu pemilik premis lebih sanggup sewakan kepada peniaga asing.

“Namun tindakan demikian tidak bagus seolah-olah kita sendiri memberi ruang kepada mereka hanya kerana mahu mendapatkan wang mudah. Kebanyakan warga asing terbabit menjual produk dari negara asal kepada pelanggan mereka termasuk penduduk tempatan,” katanya.

Biarpun ketika ini hanya 20 peratus komuniti warga asing di kampung berkenaan namun dia bimbang kehadiran pendatang terbabit semakin berkembang dan kawasan itu akan menjadi seperti Selayang.

“Warga asing ini membawa budaya mereka, malah bersikap biadap dan degil. Kawasan persekitaran termasuk premis niaga juga kotor, malah kehadiran mereka yang ramai juga memberi rasa kurang senang kepada penduduk.

“Kita juga pernah menerima aduan bahawa isteri dan anak gadis diganggu warga asing sekali gus mengancam keselamatan penduduk. Kalau yang baik dan tidak mengganggu, kita masih boleh terima tapi yang biadap memang tak boleh kompromi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top