am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 2,777 individu di Johor menerima perkhidmatan rawatan susulan kesihatan mental di Klinik Kesihatan negeri itu, dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, hasil daripada saringan minda sihat, seramai 1,140 dirujuk ke klinik kesihatan untuk penilaian seterusnya, manakala 118 kes dirujuk ke hospital untuk penilaian dan rawatan.
Katanya daerah Johor Bahru mencatat kes rawatan kesihatan tertinggi di Johor dengan sebanyak 621 kes.
“Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019, dianggarkan 970 juta orang di seluruh dunia hidup dengan gangguan mental.
“Di Malaysia, mengikut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati 4.6 peratus daripada rakyat berumur 15 tahun ke atas mengalami kemurungan. Ini bersamaan dengan hampir satu juta orang.
“Di Klinik Psikiatri Hospital Sultanah Aminah (HSA), jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan mental meningkat 90 peratus dalam tempoh 10 tahun dari 2014 hingga 2024.
“Angka itu menunjukkan peningkatan keperluan untuk perkhidmatan kesihatan mental yang senang diakses oleh masyarakat bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di Johor.
“Pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan mental ini tidak mengira usia, kita menerima pesakit seawal umur tujuh tahun hingga ada berumur 90 tahun,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedu ia 2025 dan Perasmian Mentari Johor Bahru di UTC Galeria Kotaraya Johor Bahru di sini, hari ini.
Menurut Mohtar, terdapat beberapa faktor yang mendorong berlaku masalah kesihatan mental, antaranya genetik, persekitaran, ekonomi, kekeluargaan dan trauma.
“Trauma itu yang pernah dialami mereka sama ada daripada segi dia pernah didera, dibuli aatupun trauma dari segi kehilangan atau bencana.
“Mungkin juga peningkatan kes kesihatan mental ini disebabkan oleh kesedaran umum yang semakin meningkat. Orang ramai sudah tidak takut mendapatkan rawatan.
“Kalau kita lihat ketika ini, orang ramai lebih terbuka termasuk di media sosial. Mereka tidak menghukum orang yang datang untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental. Ia perubahan stigma positif mengenai kesihatan mental.
“Kita tiada jumlah tepat namun dianggarkan antara 50 hingga 60 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan beransur-ansur pulih daripada masalah kesihatan tersebut,” katanya.
Mohtar berkata pembukaan Mentari Johor Bahru yang dibuka di UTC Johor Bahru bukan semata-mata pusat rawatan, tetapi turut menyediakan bantuan pemulihan psikososial melalui program sokongan pekerjaan serta membina semula keyakinan diri.
Katanya selain di Johor Bahru, Mentari juga telah beroperasi di Pasir Gudang, Pontian, Segamat, Batu Pahat serta Muar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




