nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara yakin siasatan kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris yang mayatnya ditemui dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman pada 2013, dapat dilengkapkan pada kadar segera.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ia susulan beberapa maklumat tambahan berkenaan kes itu yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil pertemuan dengan peguam mewakili keluarga Allahyarham, baru-baru ini.
“Siasatan masih lagi berjalan dan saya percaya pihak PDRM akan menjalankan siasatan lanjut dalam kadar segera kerana beberapa maklumat tambahan sudah diperoleh,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tiga individu yang sedia tampil bagi membantu siasatan kematian Wan Ahmad Faris, dijangka mampu merungkaikan segala persoalan berhubung kes berkenaan.
Peguam Dr Zulqarnain Lukman dilaporkan berkata, saksi berkenaan sudah menghubungi pihak keluarga dan peguam dengan menyatakan kesediaan memberi keterangan kepada pihak polis.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ditemui maut dalam keadaan tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, dekat sini.
Mayat dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dan pakar forensik yang melakukan bedah siasat pada tahun itu, mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Allahyarham disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




